Mahkamah tolak permohonan 5 kumpulan cabar KPN, AG berkait kes pendakwah

Lima kumpulan memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2022 mendakwa polis dan peguam negara bertindak menyalahi undang-undang kerana enggan mengambil tindakan terhadap pendakwah Syakir Nasoha atas kenyataannya dalam video tular.

PUTRAJAYA: Usaha lima kumpulan cuba mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan peguam negara (AG) dan ketua polis negara (KPN) mengklasifikasikan kes membabitkan pendakwah kontroversi, Syakir Nasoha tiada tindakan lanjut (NFA) berakhir.

Panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Rhodzariah Bujang menolak permohonan lima kumpulan itu untuk mendapatkan kebenaran merayu atas dua persoalan undang-undang dikemukakan.

“Persoalan undang-undang itu tidak memenuhi ambang tertinggi seperti dikehendaki Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” kata Rhodzariah, yang bersidang bersama Hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Nazlan Ghazali.

Mengikut Seksyen 96, kebenaran hanya diberikan apabila kes menimbulkan persoalan Perlembagaan atau undang-undang baharu yang penting untuk umum buat julung kali.

Peguam T Gunaseelan dan R Kumaradevan mewakili lima pemohon yang memfailkan kebenaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Sept 2022, memohon pengisytiharan bahawa keengganan bertindak terhadap Syakir menyalahi undang-undang dan penyalahgunaan kuasa oleh polis serta peguam negara.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali dan Peguam Persekutuan, Imtiyaz Wizni Othman mewakili peguam negara serta ketua polis negara.

Pemohon itu ialah Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global S Shashi Kumar, Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Bobby William, Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak Ng Kim Ho, Naib Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Cina Chan Tuck Loong dan Presiden Pertubuhan Malaysia Tamilar Munnetra Kalagam K Sri Ramesh.

Mereka tidak diperintahkan membayar kos.

Rayuan mereka ditolak Mahkamah Rayuan dalam keputusan berbelah bahagi 10 Julai lalu.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang menyampaikan keputusan majoriti, berkata tiada bukti prima facie peguam negara bertindak tidak munasabah atau tidak rasional. Beliau berkata, aduan pemohon bergantung kepada klip video kelihatan disunting.

Wan Ahmad Farid, yang kini ketua hakim negara, berkata di peringkat kebenaran semakan kehakiman, peranan peguam negara hanya untuk membantu mahkamah menentukan sama ada permohonan itu remeh.

Majoriti memutuskan peguam negara tidak dikehendaki memfailkan afidavit sebagai balasan kepada hujah pemohon. Wan Ahmad Farid berkata, pemohon gagal menunjukkan sebarang mala fide (berniat jahat) dan tidak menghubungi peguam negara berhubung siasatan atau kemungkinan pendakwaan.

Hakim Hashim Hamzah bersetuju dengan Wan Ahmad Farid.

Tetapi, Hakim Wong Kian Kheong tidak bersetuju dengan berkata, pemohon memenuhi ambang renah untuk mendapat kebenaran kerana permohonan mereka tidak remeh, menyusahkan atau tidak berasas – kriteria yang ditetapkan dalam pelbagai kes undang-undang.

Kes itu berpunca daripada video seminit Syakir yang tular di media sosial dan WhatsApp pada Oktober 2021. Dalam klip itu, beliau kedengaran berkata “pada akhir zaman, orang tidak beriman akan berebut-rebut untuk membunuh orang Islam”, khususnya penganut Hindu, Buddha dan Dayak sebagai kumpulan yang mahu menghancurkan umat Islam.

Beribu-ribu laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap pendakwah itu, tetapi Syakir kemudian berkata, klip itu disunting dan disalah tafsir. Beliau mendakwa ceramahnya hanya bagi khalayak Islam dan bukan untuk dirakam atau dikongsi.

Author:

1 thought on “Mahkamah tolak permohonan 5 kumpulan cabar KPN, AG berkait kes pendakwah

Leave a Reply to is it safe to travel to turkey with the war Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *