Anifah dakwa sokongan di Bongawan semakin positif

Anifah Aman pada siri kempennya di sekitar Bongawan.

BONGAWAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Bongawan Anifah Aman berkata sambutan pengundi terhadap beliau semakin positif selepas seminggu berkempen, dengan ramai mahukan pemimpin yang memahami realiti kehidupan seharian mereka.

Bekas menteri luar itu berkata rakyat sudah muak dengan retorik politik dan lebih mengutamakan penyelesaian terhadap masalah asas seperti bekalan air tidak stabil, jalan rosak, gangguan elektrik serta sekolah daif.

“Rakyat tidak cari retorik, mereka cari penyelesaian,” katanya kepada FMT pada siri kempennya di sekitar DUN Bongawan.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, sokongan kepada GRS termasuk di DUN Bongawan berpunca daripada keyakinan pengundi terhadap keupayaan calon serta rekod kerja di lapangan.

Pada PRN Sabtu ini, beliau mencabar kerusi Bongawan yang akan dipertahankan Daud Yusof (Warisan). Calon lain Mohamad Alamin (Barisan Nasional), Dolores Michael (STAR) Ridzuan Firdaus (Perikatan Nasional), Royston Adven (Parti Impian Sabah), Md Haris Md Tahir (bebas), Peter Matinjal (KDM) serta Hussin Dasar Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Beliau juga berkongsi dapatan menerusi kempennya seperti kebimbangan utama anak muda terhadap pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Justeru, beliau mahu memfokuskan kepada aspek pembangunan modal insan melalui latihan kemahiran dalam sektor minyak dan gas, automotif, teknikal dan logistik.

Anifah turut memaklumkan beberapa pelabur luar termasuk dari Qatar menunjukkan minat terhadap pembangunan industri hiliran minyak dan gas (O&G) di kawasan itu.

“Ini dapat dilakukan menerusi kewujudan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) yang saya usahakan ketika menjadi wakil rakyat Kimanis,” katanya.

Author:

1 thought on “Anifah dakwa sokongan di Bongawan semakin positif

Leave a Reply to Dante415 Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *