Tangkap layar rakaman CCTV yang tular menunjukkan mangsa dikejar sekumpulan lelaki, sebelum dipukul termasuk menggunakan kerusi dan kotak.
SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul dan ditikam dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah.
“Kita percaya pergaduhan itu melibatkan 10 hingga 12 lelaki dan seorang daripada mereka bertindak menikam mangsa,” katanya kepada Bernama.
Azahar berkata pihaknya sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi kejadian, bagi mengenal pasti identiti suspek dan punca insiden.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Azahar berkata mengikut siasatan, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Terdahulu, tular di media sosial video rakaman CCTV berdurasi seminit 26 saat di premis berkenaan memaparkan mangsa cuba melarikan diri selepas dikejar sekumpulan lelaki, sebelum dipukul termasuk menggunakan kerusi dan kotak.

https://shorturl.fm/h2MQm