TM, SK Telecom meterai MoU bagi bangunkan Multi-Access Edge Computing di Malaysia

TM, SK Telecom meterai MoU bagi bangunkan Multi-Access Edge Computing di Malaysia

SEOUL: Telekom Malaysia Bhd (TM) dan syarikat telekomunikasi tanpa wayar terbesar di Korea Selatan, SK Telecom hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membangunkan secara bersama pengaturan perniagaan Multi-Access Edge Computing (MEC) di Malaysia.

Ini akan membuka jalan kepada perniagaan perkhidmatan MEC untuk dipelopori dan disediakan di Malaysia.

Majlis pemeteraian itu diadakan di ibu pejabat SK Telecoms di Seoul dengan dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) TM Amar Huzaimi Md Deris.

TM diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif TM Global Khairul Liza Ibrahim manakala Naib Presiden dan Ketua Perusahaan CIC SK Telecom, Kyeong Deog Kim mewakili syarikat Korea Selatan itu.

“Saya gembira untuk menyaksikan majlis menandatangani MoU antara TM dan SK Telecom berikutan terdapat banyak peluang yang boleh diraih daripada kerjasama yang erat itu.

“Saya yakin MoU ini menjadi langkah ke arah hala tuju yang tepat,” kata Fahmi kepada Bernama pada majlis pemeteraian tersebut.

Awal hari ini, Fahmi turut meluangkan masa lebih sejam melawat ibu pejabat Samsung Electronics dan Samsung Digital City di Suwon, dekat sini.

Ketibaan delegasi Malaysia disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Mobile Experience, TM Roh dan CEO Global Network Business, Woojune Kim.

Pada pertemuan itu, beberapa agenda utama telah dibincangkan untuk potensi kerjasama antara Samsung dan syarikat telekomunikasi (telco) di Malaysia.

“Antaranya, saya telah membangkitkan mengenai isu penggunaan 5G di Malaysia. Walaupun liputan 5G di Malaysia telah mencapai 66.8 peratus tetapi pengguna 5G baharu sebanyak 4.2 peratus kerana harga peranti 5G yang masih mahal dan tidak mampu milik.

“Oleh itu, kerjasama yang lebih erat perlu terus dijalin antara Kementerian Komunikasi dan Digital dan telco dengan pihak Samsung supaya harga peranti 5G boleh lebih mampu milik buat rakyat Malaysia,” katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *