Nurul Izzah gesa akses saksama kepada saringan dan vaksinasi HPV demi membanteras kanser serviks

Nurul Izzah gesa akses saksama kepada saringan dan vaksinasi HPV demi membanteras kanser serviks

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar, yang sentiasa aktif memperjuangkan isu-isu wanita khususnya berkait dengan kesihatan menyeru penglibatan pelbagai pemegang taruh untuk bersama-sama berusaha menghapuskan kanser serviks.

Kanser ini merupakan sejenis barah yang boleh dicegah melalui vaksinasi dan ujian saringan, dan tidak sepatutnya mengancam mana-mana wanita, ibu, kakak atau anak perempuan kita, katanya.

“Daripada komitmen signifikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai agensi kerajaan dalam merangka program vaksinasi yang efektif, vaksinasi HPV di kalangan gadis berusia 12 higga 15 tahun, mencecah 90 peratus dalam tempoh tahun 2010 hingga tahun 2020.

“Walaupun pelaksanaan program berkenaan tergendala sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kerajaan kini sedang merangka usaha-usaha untuk memulakan kembali inisiatif itu,“ katanya ketika mengalu-alukan kedatangan delegasi ke pelancaran Global HPV Consortium di Kuala Lumpur.

Konsortium ini adalah gerakan awam-swasta bagi menghalang jangkitan Human Papillomavirus atau HPV dalam usaha menghapuskan kanser serviks, iaitu penyakit utama berkait HPV yang sudah lama mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Gerakan ini menghimpunkan pemegang-pemegang taruh, antaranya dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Mesir, Senegal, Nigeria, Afrika Selatan, Malawi, Brazil, Argentina, India dan Singapura.

Menceritakan kejadian empat tahun lalu, Nurul Izzah, yang juga bekas ahli parlimen Permatang Pauh, mengimbau kisah sedih yang menimpa seorang wanita di sebuah perkampungan di pedalaman Borneo, yang hanya menerima rawatan kesihatan selepas kanser serviks yang dialaminya didiagnos sudah mencapai tahap kritikal.

“Wanita berkenaan sebenarnya sudah mengalami pendarahan selama beberapa bulan, namun ketika itu dia terlalu malu untuk mendapatkan bantuan. Ditambah pula dengan kos dan masa yang diperlukan untuk ke hospital daerah terdekat dari

rumahnya di perkampungan yang jauh ke pedalaman, kira-kira tiga jam perjalanan, beban

ditanggung wanita berkenaan semakin berat.

“Atas faktor-faktor tersebut, dia bersendirian menanggung penderitaan, menyembunyikan sakit yang melelahkan, mengalami pendarahan dan sentiasa keletihan sambil berjalan beberapa jam sehari dan mengendong anak kecilnya di belakang untuk mencari rezeki menoreh getah demi kelangsungan hidup keluarga yang susah,“ kata Nurul Izzah.

Ketika dia didiagnos, anak Perdana Menteri itu berkata, kanser yang dialami wanita itu sudah sampai tahap kritikal dan walaupun usaha terbaik dilaksanakan pasukan perubatan untuk mengawal barah yang menyerang, wanita itu telah menemui ajal beberapa bulan kemudian.

Kisah ibu ini meninggalkan kesan sangat mendalam kepada Nurul Izzah dan pasukannya, lantas mereka menanam tekad untuk berusaha lebih gigih bagi mencegah dah menghapuskan kanser serviks di Malaysia khususnya dan di dunia, amnya.

“Hanya sekali vaksinasi ketika usia antara 12 hingga 15 tahun dan dua ujian berketepatan tinggi HPV DNA (dilaksanakan melalui pensampelan kendiri/kit ujian kendiri) dalam jangka hayat wanita, boleh mengelakkan mereka daripada kesakitan dan penderitaan akibat kanser serviks.

“Dengan kos sekitar sekitar RM1,000 (AS Dollar 214) bagi dua proses untuk untuk mengelakkan diri wanita daripada ancaman kanser serviks, sememangnya ia merupakan suatu pelaburan yang berbaloi,“ katanya.

Nurul Izzah turut menggesa industri-industri yang bertanggungjawab agar mereka dapat menunjukkan komitmen sebenar untuk bekerjasama dengan kerajaan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya di selatan dunia – di mana ada peningkatan lebih 80 peratus kematian akibat kanser serviks – untuk memastikan akses saksama kepada vaksinasi dan

saringan HPV.

Beliau mengakui, terdapat banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan setiap kanak-kanak di Asia Tenggara, Asia dan Afrika mempunyai akses terhadap vaksinasi HPV dan semua wanita mempunyai akses terhadap ujian HPV DNA berketepatan tinggi.

Nurul Izzah juga melahirkan harapan yang tinggi agar perbincangan yang bermula pada pelancaran Global HPV Consortium ini akan memberi impak yang positif dan membolehkan perancangan kolektif dihasilkan dalam kalangan pemegang-pemegang taruh.

Beliau berharap penggubal dasar, wakil-wakil kerajaan, pakar-pakar akademik, pakar-pakar perubatan, pejuang-pejuang kepentingan pesakit, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak-pihak industri yang bertanggungjawab dapat memastikan tiada kanak-kanak dan tiada wanita tercicir, sekali gus memastikan kanser serviks dapat dihapuskan daripada kehidupan komuniti.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *