KUALA LUMPUR: Perpaduan antara kaum dalam negara yang menjadi keunikan Malaysia di mata dunia, perlu dipertahankan kerana ia tunggak kepada kegemilangan negara.
Sesuai konsep ‘Jiwa Merdeka’ ditekan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam amanat Hari Kebangsaan 2023, ia lahir hasil kemerdekaan negara merupakan satu ‘harta’ tidak ternilai, yang perlu ditatang setiap kaum ‘bagai minyak yang penuh’.
Penganalisis politik Mujibu Abd Muis berpendapat konsep itu yang menuntut semua pihak memaknai kemerdekaan dari segi jiwa dan pemikiran yang merdeka, selari dengan hakikat bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, dengan dinamik sosial yang perlu dihormati semua.
“Negara ini milik bersama dan semua pihak perlu hormati kontrak sosial dan fahaman bahawa, semua warga Malaysia berhak mengamalkan budaya dan fahaman masing masing.
“Semangat ini juga perlu bagi mengikis bahana ataupun fahaman kaum, agama yang sempit,” katanya kepada Bernama.
Anwar ketika menyampaikan amanat Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya, semalam antara lain menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara, bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat.
Mujibu yang merupakan Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata dalam hal ini, segenap lapisan masyarakat mempunyai peranan memastikan negara ini bebas ancaman idealisme politik dan perkauman, yang menyekat kemajuan negara.
“Pilihan itu ada pada rakyat, sama ada mahu terus terikat dengan politik fitnah dan adu domba disebabkan ideologi perkauman atau agama yang sempit, ataupun untuk sama-sama bekerja dan merangka untuk kemajuan semua rakyat di negara ini,” katanya.
Mujibu berkata penghayatan sejarah dan pemahaman mengenai institusi dan kerangka politik semasa, perlu diterapkan untuk mempupuk sikap toleransi dan keharmonian antara masyarakat, sekali gus menjamin kebebasan dan hak semua dapat dipelihara.
“Yang paling penting ialah bagaimana semua orang boleh bergerak bersama dengan meletakkan segala-galanya di atas kerangka bernegara.
“Kita perlu ada satu kerangka menyeluruh, yang membolehkan kita kembali kepada penghayatan dan kefahaman kepada perkara-perkara yang menjadi asas negara kita,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Dr G. Manimaran berkata perpaduan kaum yang ditekankan perdana menteri, satu isu kritikal yang perlu dinilai semula setiap rakyat negara sedalam-dalamnya, kerana ia berkait rapat dengan pengisian kepada erti kemerdekaan yang sebenar.
Beliau berkata semangat ke arah perpaduan yang sepatutnya menjadi asas utama negara, dilihat semakin hari semakin terhakis dalam kalangan rakyat, dicemari pelbagai faktor demi kepentingan kendiri pihak dan golongan tertentu.
“Kita perlu membuang pemikiran jumud. Kita sudah membuang pemikiran penjajah, tetapi pemikiran jumud menguasai setiap aspek politik, kepimpinan dan pentadbiran negara, di kedua-dua sektor swasta dan awam.
“Pemikiran jumud menyebabkan kita sudah ketinggalan dalan banyak aspek dan bidang, menyebabkan Malaysia diatasi banyak negara yang merdeka selepas kita,” katanya. -Bernama
