Menteri Kabinet ucap selamat Hari Kebangsaan

Menteri Kabinet ucap selamat Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Para menteri Kabinet menerusi media sosial mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selain mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan, beliau turut berharap Malaysia kekal maju, makmur dan sejahtera.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula melahirkan penghargaan kepada pekerja sektor pengangkutan yang sanggup meredah cuaca mencabar berjam-jam, demi keselesaan seluruh masyarakat.

“Mereka mendahulukan tanggungjawab memastikan rakyat boleh bergerak dengan bebas, (dapat) berhubung dengan orang tersayang dan menyumbang kepada kemajuan negara kita.

“Semoga ucapan terima kasih kita kepada wira yang tidak didendang yang membuat negara kita bergerak, menjadi bukti semangat perpaduan dan kemajuan tidak berbelah bahagi yang mentakrifkan negara kita hebat,” katanya sempena ucapan Hari Kebangsaan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula mendoakan semoga perpaduan dan keamanan negara terus selamanya terpelihara.

“Kita raikan kelebihan dan kekuatan masing-masing kerana kesepaduan kekuatan akan terus membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Semoga jati diri dan jiwa merdeka kita terus kukuh untuk melalui cabaran dan peluang yang mendatang,” katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berharap agar orang ramai mempunyai jiwa dan semangat merdeka yang kukuh dalam mendepani pelbagai rintangan dan cabaran.

“Dalam mengorak langkah yang lebih jauh mendepani pelbagai rintangan dan cabaran, semoga tiap dari kita mempunyai jiwa dan semangat merdeka yang dalam erti kata sebenar-benarnya,” katanya.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pula, menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan diri dan saling menghormati antara satu sama lain, demi kesejahteraan bersama dalam perjalanan menuju kemajuan. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *