IPOH: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menggunakan sebatang kayu, Ahad lepas.
R. Subramanian, 65, yang merupakan pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya S. Shanta Kumari, 54, dengan menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah di Jalan Pertama 4, Taman Pertama di sini, kira-kira 1.14 pagi, 20 Ogos 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah menawarkan jaminan RM10,000 berserta syarat supaya bapa tiga anak itu tidak mengganggu saksi.
Bagaimanapun peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili Subramanian merayu jaminan minimum dikenakan kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap serta kini hanya melakukan kerja-kerja kebun.
Hakim Azizah Ahmad kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 3 Okt depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada isterinya S. Premlata, 36, dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepadanya, awal bulan ini.
G. Ganesan, 38, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Laluan Maju 9, Taman Idaman Chemor di sini, kira-kira 7.30 malam, 7 Ogos 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Nabilah Norzam tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh merupakan suami kepada mangsa.
Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nor Izawani Ahmad Jalaludin yang mewakili tertuduh merayu untuk diberikan jaminan kerana Ganesan mempunyai dua anak masing-masing berusia empat dan tujuh tahun, selain kini tidak bekerja kerana masalah kesihatan akibat kemalangan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 19 Sept untuk sebutan semula kes. -Bernama
