Suhaizan Kaiat, Nazri Abdul Rahman diumum calon Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

Suhaizan Kaiat, Nazri Abdul Rahman diumum calon Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

JOHOR BAHRU: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Suhaizan Kaiat diumum sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pulai manakala Nazri Abdul Rahman calon di DUN Simpang Jeram mewakili Pakatan Harapan (PH) pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.

Presiden parti Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) yang mengumumkan perkara itu berkata kedua-dua mereka adalah daripada parti Amanah, dan akan bertanding mempertahankan kedua-dua kerusi milik parti itu.

Beliau berkata pemilihan kedua-duanya dimuktamadkan setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada Jawatankuasa Pemilihan Calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang bermesyuarat pada 15 dan 17 Ogos lepas.

”Calon-calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Ogos nanti di DUN Simpang Jeram,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan, 50, merupakan Setiausaha Politik kepada Allahyarham Salahuddin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas. Allahyarham merupakan penyandang kepada kedua-dua kerusi itu.

Pada 3 Ogos lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 Sept.

Suhaizan merupakan Naib Pengerusi Amanah Johor, Ketua Amanah Kawasan Pulai, dan pernah menjadi Speaker DUN Johor bagi tempoh 2018 sehingga 2020, manakala Nazri, 56, bekerja sebagai jurutera Majlis Perbandaran Muar selama 30 tahun dan merupakan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *