LKIM teliti bantuan kepada pemilik bot nelayan Zon C2

Kenaikan harga bahan api meningkatkan kos operasi penangkapan hasil laut, kata LKIM.

CHUKAI: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang meneliti kaedah terbaik bagi menyalurkan bantuan kepada pemilik bot nelayan laut dalam kategori Zon C2 susulan kenaikan harga diesel akibat krisis di Asia Barat.

Pengerusi Faiz Fadzil berkata golongan berkenaan antara yang paling terkesan memandangkan mereka tidak menikmati Skim Kawalan Diesel Bersubsidi seperti nelayan Zon A, B dan C yang menerima subsidi pada kadar RM1.65 seliter.

Beliau berkata kenaikan harga bahan api itu meningkatkan kos operasi penangkapan hasil laut.

“Golongan nelayan Zon C2 memang perlu beli diesel pada harga industri, iaitu RM5.52 seliter. Mereka telah buat rayuan dan kami melihat apa kaedah terbaik untuk kami bantu golongan nelayan berkenaan,” katanya selepas menyempurnakan majlis bersama nelayan di Kertih.

Pada majlis itu, 31 nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik menerima bantuan enjin sangkut, pukat, tong insulasi 100 liter dan jaket keselamatan.

Faiz berkata pada masa ini jumlah bot nelayan kategori Zon C2 yang beroperasi adalah 733 buah melibatkan 9,598 nelayan, manakala pendaratan ikan bot nelayan kategori Zon C2 pula berjumlah 168,511.8 tan metrik setahun.

Jumlah keseluruhan bot nelayan kategori Zon A pula sebanyak 41,282 buah, Zon B (4,161 buah) dan Zon C (2,997 buah).

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah pendaratan ikan negara tidak terjejas meskipun beberapa negeri berdepan fenomena cuaca panas ketika ini.

“Secara purata, jumlah pendaratan ikan di seluruh negara adalah sebanyak 707,009.83 tan metrik setiap tahun,” katanya.

Author: admin