
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Mesir selepas disyaki mengugut membunuh dan mengancam membakar rumah seorang wanita warga emas di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia lingkungan 70-an pada 25 Mac lalu.
Mangsa mendakwa diugut serta diancam oleh suspek yang menyewa bilik di kediamannya.
Bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki berusia lingkungan 20-an itu pada 12.49 tengah malam keesokan hari di lokasi kejadian.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” menurut kenyataan.
Suspek direman tiga hari bermula 26 hingga 28 Mac sebelum disambung reman selama 14 hari dari 29 Mac hingga 11 April kerana kesalahan imigresen.
Kes disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
