
SHAH ALAM: Polis menahan dua warga tempatan termasuk seorang wanita semalam, bersabit kejadian bermain mercun secara berbahaya dari ‘sunroof’ kereta yang sedang bergerak di sekitar Persiaran Ficus Seksyen U15.
Ketua Polis Shah Alam, Ramsay Embol, berkata tangkapan membabitkan individu berumur 21 dan 28 tahun itu dibuat pada 2.40 petang di sekitar kawasan Sungai Buloh dan Seksyen 9, Shah Alam.
“Dalam tangkapan itu, sebuah kereta jenis Proton Satria, masing-masing satu telefon bimbit dan batang mercun yang dipercayai digunakan dalam kes ini turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Semua individu direman tiga hari sehingga Selasa ini (31 Mac) untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan.
Semalam, Ramsay dilaporkan berkata pihaknya sedang mengesan beberapa individu disyaki terbabit dalam insiden bermain mercun secara berbahaya dari ‘sunroof’ kereta yang sedang bergerak di sekitar Persiaran Ficus Seksyen U15, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 12.48 tengah hari semalam selepas video berkaitan insiden itu tular di media sosial, dan mengesahkan ia berlaku di kawasan Elmina Rainforest.
