
PETALING JAYA: Kad kredit dan debit asing tidak boleh digunakan di terminal layan diri pam minyak bagi pembelian petrol RON95, berkuat kuasa Rabu ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam, berkata langkah itu mewajibkan pengguna kad berkenaan membuat bayaran di kaunter bagi memudahkan pemantauan dan memastikan pematuhan peraturan.
“Sebelum ini ada banyak kes kenderaan dengan nombor pendaftaran asing yang isi minyak menggunakan kad debit atau kad kredit asing di terminal layan diri pam minyak. Oleh itu, sukar untuk pihak stesen minyak dan pihak berkuasa untuk kesan jika mereka buat pembelian petrol RON95,” katanya lapor Berita Harian.
Azman berkata beberapa syarikat minyak sudah bersedia untuk melaksanakan peralihan ini, dan beberapa lagi akan memulakannya secara berperingkat.
“Bagi stesen minyak yang misalnya ada lebih daripada 15 pam, sukar untuk mereka kesan jika berlaku ketirisan. Dengan cara ini, bila pengguna mesti buat bayaran di kaunter, kita dapat pastikan mereka yang tak layak tidak dapat isi RON95,” katanya.
Dalam pada itu, penguatkuasaan penuh larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berdaftar asing bermula tarikh sama.
Pada masa sama, pelesen stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan diarah mengawal penjualan diesel kepada kenderaan pengangkutan darat dengan had antara 50 liter hingga 150 liter bagi setiap transaksi.
“Seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara bersiap siaga melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan,” katanya.
