5 ditahan berkait kes serang kereta cikgu

Tangkap layar video tular beberapa individu mengejar kenderaan pengadu dan bertindak agresif dengan memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang kereta itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung video tular memaparkan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan di kawasan lampu isyarat berhampiran Jesselton Quay, Kota Kinabalu.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata semakan mendapati satu laporan dibuat seorang guru lelaki berusia 30 tahun pada 2.35 petang semalam.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada 1.45 tengah hari pada hari sama selepas pengadu selesai menghadiri satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Siasatan awal mendapati, semasa pengadu menuju ke kenderaannya di kawasan tempat letak kereta berhampiran gudang sebuah syarikat kurier di Pelabuhan Kota Kinabalu, dia telah berhadapan dengan beberapa individu yang dipercayai pekerja premis berkenaan.

“Berlaku provokasi lisan sebelum situasi menjadi tegang, menyebabkan pengadu bertindak mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja terlanggar sebuah kenderaan lain.

“Susulan itu, beberapa individu mengejar kenderaan pengadu dan bertindak agresif dengan memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang kenderaan tersebut. Pengadu turut mendakwa telah diugut supaya keluar dari kenderaan semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis memandang serius kejadian itu dan memberikan jaminan siasatan akan dijalankan secara telus serta adil.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Author: admin