Aliran trafik di lebuh raya utama perlahan, jumlah kenderaan meningkat

Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara menunjukkan pertambahan jumlah kenderaan yang bergerak perlahan di beberapa lokasi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan menunjukkan pertambahan jumlah kenderaan yang bergerak perlahan di beberapa lokasi, sempena hujung minggu dan cuti Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik dilaporkan perlahan Lebuhraya Utara-Selatan (E1) arah selatan, dari Juru Auto City ke Plaza Tol Juru serta dari Bukit Merah ke Taiping Utara.

Katanya, keadaan sama turut dilaporkan dari Taiping Utara ke Changkat Jering susulan kesan insiden kereta terbakar di Kilometer 207.8 arah selatan, namun ia telah selesai.

“Selain itu, trafik turut perlahan dari Bidor ke Sungkai akibat pertambahan jumlah kenderaan.

“Bagi Lebuhraya Utara-Selatan (E2) arah utara pula, trafik perlahan dilaporkan dari Jasin ke Ayer Keroh serta dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi.

“Aliran trafik juga perlahan dari Senawang ke Port Dickson Utara serta selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar,” katanya, menurut Harian Metro.

Sementara itu, di Tambak Johor (E2) arah selatan, kesesakan dilaporkan dari CIQ Sultan Iskandar ke CIQ Woodlands berikutan peningkatan pergerakan keluar masuk ke Singapura.

Di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah selatan pula, trafik perlahan dilaporkan dari Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove.

“Di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah utara pula, aliran trafik perlahan dikesan dari Puchong Utama ke Puchong Intan,” katanya.

LLM turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan dan mendapatkan maklumat terkini trafik menerusi hotline Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) 1-800-88-7752.

Orang ramai juga boleh menggunakan WhatsApp LLM Info Trafik, aplikasi TUJU dan MYJalan atau melalui media sosial rasmi LLM di TikTok @llmtrafik dan Facebook.

Author: admin