Laut China Selatan tak menentu jika AS tutup pangkalan, kata pakar

USS Dewey
USS Dewey, kapal perang Amerika Syarikat yang berpangkalan di Jepun digunakan untuk rondaan dan latihan di Laut China Selatan. (Gambar Wikipedia)

PETALING JAYA: Dua pakar tidak bersetuju dengan gesaan supaya negara-negara mempertimbangkan semula kehadiran pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS), sambil memberi amaran langkah itu boleh menggugat kestabilan Asia Tenggara dan mengubah keseimbangan kuasa memihak kepada China.

Pakar hal ehwal maritim, Salawati Mat Basir, berkata AS memainkan peranan penting dalam mengekang China daripada menguatkuasakan tuntutannya ke atas pelbagai bahagian di Laut China Selatan.

Beijing telah lama mempunyai pertikaian dengan Malaysia, Vietnam dan Filipina, antara lain, yang berpunca daripada tuntutan tersebut.

Salawati memberitahu FMT, kapal AS yang berpangkalan di Jepun dan Korea kerap menjalankan rondaan serta latihan ketenteraan bersama di Laut China Selatan dengan negara sekutu.

Beliau menyifatkan pangkalan AS itu sebagai ‘tunjang utama’ kepada seni bina keselamatan Asia Timur.

Katanya, menutup pangkalan tersebut akan secara langsung mengurangkan keupayaan pencegahan terhadap usaha China untuk menguatkuasakan kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan.

“AS sentiasa menjalankan operasi kebebasan pelayaran (di Laut China Selatan) di kawasan di mana China mengekalkan tuntutan wilayahnya.

“Pengurangan kehadiran ketenteraan AS di Asia Timur akan mengubah landskap keselamatan serantau secara asas, berkemungkinan mempercepatkan peralihan ke arah dominasi China dan memaksa negara-negara Asean membuat pilihan strategik yang sukar.

“AS kekal sebagai pengimbang utama terhadap cita-cita serantau China,” kata Salawati dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

USS Higgins, USS George Washington dan USS Dewey antara kapal perang AS yang berpangkalan di Jepun dan digunakan untuk rondaan serta latihan di Laut China Selatan, yang sering mencetuskan bantahan daripada China.

Minggu lalu, ahli ekonomi Amerika dan penganalisis dasar awam Jeffrey Sachs berkata tiada manfaat keselamatan daripada penempatan pangkalan AS, merujuk kepada serangan Tehran ke atas negara-negara Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel ke atas Iran.

Menurut Biro Keamanan Antrarabangsa, dianggarkan terdapat 1,247 pangkalan tentera asing di seluruh dunia setakat tahun lalu, dengan AS mengekalkan 877 daripadanya.

Walaupun AS tidak mempunyai pangkalan tetap di Asia Tenggara, ia mengekalkan kehadiran ketenteraan di beberapa negara termasuk Filipina, Singapura dan dilaporkan Thailand.

Malaysia tidak menempatkan pangkalan tentera asing, namun Australia mengekalkan kehadiran tetap di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara.

Kesan lebih luas ke atas Asia Tenggara

Pakar hubungan antarabangsa, Liew Wui Chern, berkata pengurangan kehadiran AS di Asia Tenggara berisiko membolehkan China memperluaskan pengaruhnya, khususnya dalam bidang maritim dan ekonomi.

Katanya, beberapa negara mungkin mengamalkan strategi ‘hedging’ bagi mengelakkan daripada berpihak sepenuhnya kepada China, yang seterusnya boleh memberi tekanan kepada Asean untuk ‘memilih pihak’ apabila pengaruh Beijing semakin meningkat.

“Pendekatan lama Asean yang mengekalkan pendirian berkecuali akan menjadi lebih sukar untuk dipertahankan dalam persaingan geopolitik yang semakin sengit, namun ia masih kekal sebagai strategi yang berdaya maju,” kata Liew dari Universiti Tunku Abdul Rahman.

Salawati berkata, ketiadaan AS sebagai kuasa pengimbang boleh menyebabkan sesetengah negara menjadi lebih mesra China demi menjaga kepentingan masing-masing, berbanding membentuk pakatan balas, yang menurutnya boleh merosakkan kesepaduan Asean.

Beliau juga berkata, pengurangan kehadiran ketenteraan kuasa asing di sesuatu rantau lazimnya membawa kepada pengurangan penglibatan ekonomi.

Ancaman ketenteraan di Indo-Pasifik

Liew berkata, rantau Indo-Pasifik turut menghadapi risiko sama jika  AS berundur secara besar-besaran, termasuk kelemahan dalam pencegahan terhadap agresi ketenteraan serta peningkatan risiko konflik dengan China.

Katanya, pangkalan hadapan AS memainkan peranan penting dalam melindungi kepentingan negara seperti Taiwan, Jepun dan Korea Selatan, yang mempunyai hubungan kompleks dengan China, selain memudahkan pertukaran teknologi dan kepakaran pertahanan.

Beliau berkata, pengurangan kehadiran ketenteraan AS mungkin dilihat sebagai pengunduran Washington dari rantau itu—satu persepsi yang menurut sesetengah pihak telah menggalakkan Korea Utara dan menyumbang kepada tercetusnya Perang Korea pada 1950-an.

“Kehadiran minimum tetapi berwibawa masih penting. (Jika AS berundur) negara seperti Jepun, Australia dan India mungkin akan meningkatkan peranan serta perbelanjaan pertahanan mereka, namun jurang penyelarasan tetap wujud.

“Ini boleh membawa kepada pakatan pengimbang yang lebih longgar berbanding sistem pakatan yang tersusun rapi,” kata Liew.

Author: admin