
PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Chan Foong Hin menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan harga diesel RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak yang mencerminkan realiti, bukannya layanan istimewa.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu berkata langkah berkenaan mengiktiraf cabaran unik dihadapi di Malaysia Timur, termasuk keadaan geografi, jurang infrastruktur serta kebergantungan terhadap pengangkutan berkuasa diesel, khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Di Sabah dan Sarawak, kos pengangkutan lebih tinggi menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan lebih mahal. Sebarang kenaikan harga bahan api akan menjejaskan kehidupan harian secara langsung, termasuk isi rumah, perniagaan kecil dan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perbelanjaan subsidi diesel meningkat daripada RM2 bilion pada 2025 kepada RM4.6 bilion tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan seimbang.
Harga diesel kini RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, kurang separuh daripada RM5.52 seliter di Semenanjung Malaysia.
Semalam, Perikatan Nasional mengkritik perbezaan itu dengan berkata, ia berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan terhadap pengguna dan perniagaan di Semenanjung Malaysia.
Chan yang juga bekas timbalan menteri persekutuan menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengekalkan subsidi RM2.15 seliter untuk Malaysia Timur.
Jelasnya, subsidi itu sebahagian daripada usaha nasional lebih luas untuk menangani ketidakseimbangan serantau. Ia tidak patut dilihat sebagai layanan istimewa, “tetapi langkah penting untuk memastikan pembangunan adil merentasi wilayah dengan cabaran sangat berbeza”.
Baru-baru ini, veteran Umno Sabah, Salleh Said Keruak dilaporkan berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai kos struktur lebih tinggi dengan logistik bergantung kepada pengangkutan jarak jauh, sama ada jalan raya atau laut.
Beliau berkata, ini bermakna rantaian bekalan lebih kompleks dan mahal, khasnya di kawasan luar bandar.
Putrajaya mengehadkan pembelian diesel di Malaysia Timur mengikut kategori kenderaan mulai 1 April ini bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan.
