
DHAKA: Dua mayat berjaya ditemukan pada Rabu selepas sebuah bas penumpang yang membawa sekurang-kurangnya 40 orang terjunam ke Sungai Padma ketika sedang menaiki feri, lapor Anadolu Ajansi memetik laporan Channel 24 TV.
Dua mangsa yang terkorban dalam kejadian di Terminal Feri Daulatdia di Bandar Goalanda, Daerah Rajbari itu terdiri daripada wanita, manakala 17 penumpang berjaya diselamatkan oleh penyelam perkhidmatan bomba.
Menerusi maklumat daripada penduduk dan mangsa yang terselamat, diketahui antara lima hingga tujuh penumpang berjaya menyelamatkan diri sebelum bas tenggelam, menurut bomba.
Stesen televisyen melaporkan sekurang-kurangnya 40 orang berada di dalam bas itu, namun pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah sebenar penumpang serta bilangan yang masih hilang.
Menurut bomba, bas yang dalam perjalanan ke Dhaka itu hilang kawalan ketika menaiki feri dari Rajbari sebelum tenggelam sedalam kira-kira 9.14m di dalam sungai.
Operasi menyelamat sedang dijalankan oleh dua unit penyelam, manakala dua lagi unit dari Dhaka dan Faridpur sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian.
Kejadian pada hari ketujuh Aidilfitri ini antara kemalangan maut menyusuli nahas-nahas lain di Bangladesh pada musim perayaan ini, termasuk nahas membabitkan bas dan kereta api di Daerah Comilla pada Ahad lepas, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan menyebabkan 26 lagi cedera.
