Risiko manipulasi resit halang inisiatif ekonomi tanpa tunai, kata pakar

qr code
Sistem imbasan kod QR antara medium utama pembayaran tanpa tunai pada masa ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Manipulasi resit palsu berisiko menggugat perkembangan peralihan negara ke arah ekonomi tanpa tunai yang dijangka mencapai 90% menjelang akhir tahun ini, kata ahli ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata aspek keselamatan transaksi itu perlu diatasi bagi mengelakkan perkembangan digital yang pantas terkandas disebabkan rasa kurang percaya.

Menurutnya, sistem sedia ada perlu diperkukuh bagi menutup ruang penipuan itu yang menjejaskan ramai peniaga kecil.

“Kita memerlukan sistem lebih seragam dan pengesahan pembayaran secara langsung (real-time) daripada bank penerima.

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai.

“Tanpa pengesahan automatik, peniaga kecil sering menjadi mangsa manipulasi resit atau kekeliruan kod QR,” katanya kepada FMT.

Berikut kepesatan perkembangan teknologi, kerajaan melancarkan pelbagai inisiatif seperti Cashless Society dan Cashless Boleh bertujuan mempercepatkan penerimaan pembayaran digital termasuk dalam sektor awam.

Mustazar Mansur dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berkata sasaran ke arah 100% ekonomi tanpa tunai tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

mustazar mansur
Mustazar Mansur.

Walaupun menyokong langkah ke arah ‘cashless society’, beliau menegaskan kebergantungan e-dompet kepada infrastruktur internet menjadi cabaran utama bagi penguatkuasaan secara menyeluruh, khususnya di kawasan dengan liputan lemah.

“Capaian internet di Malaysia antara tertinggi di dunia tetapi di sesetengah kawasan di Sabah, Sarawak dan Kelantan, walaupun ada akses internet, kualiti isyarat perlahan menyukarkan urusan pembelian secara digital,” katanya.

Menurutnya, masalah literasi digital turut menyebabkan ada kelompok masyarakat berisiko tercicir seperti warga emas serta penduduk luar bandar.

“Kalau kita paksa sepenuhnya, ada yang tidak dapat berbelanja atau membuat bayaran kerana tiada pengetahuan mengenai sistem digital.

“Jadi pendekatan perlu dibuat secara berperingkat,” katanya.

Author: admin