
PETALING JAYA: Bekalan makanan kekal stabil sepanjang Ramadan, suatu perkembangan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya lantaran penyelarasan antara agensi yang lebih bagus, serta pemantauan yang lebih aktif, menurut Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Ketua Pegawai Eksekutif T Saravanan berkata tahun-tahun lalu menyaksikan kekurangan barangan keperluan seperti ayam dan telur yang akut.
Tahun ini, beras, telur, bawang, dan ayam secara amnya tersedia tanpa sebarang kekurangan yang meluas.
“Bagaimanapun, keadaan masih rapuh kerana Malaysia masih bergantung pada import bagi beberapa barangan makanan utama,” katanya kepada FMT.
“Tekanan luaran seperti ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan global, dan impak berkaitan iklim mendatangkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan domestik dengan cepat.”
Beliau berkata campur tangan kerajaan seperti kawalan harga dan inisiatif pemantauan membantu menstabilkan harga barangan ruji utama, walaupun tahap mampu milik masih menjadi kebimbangan.
“Kestabilan ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai mampu milik, kerana harga kekal tinggi berbanding norma sejarah,” katanya.
Katanya lagi, kos asas tetap tinggi walaupun ketidaktentuan harga berkurangan berbanding tahun lepas.
Saravanan memuji Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, mengatakan ia membantu mengekalkan keyakinan dengan memantau bekalan, menangani kekurangan, dan mengambil tindakan terhadap pencatutan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, memaklumkan tiada kekurangan barangan makanan utama semasa Ramadan.
“Beras, gula, tepung, ketupat, telur, dan ayam. Semuanya lebih daripada mencukupi. Tiada masalah,” katanya kepada FMT, dan menambah harga bagi beberapa barangan asas, seperti ayam, lebih rendah berbanding tahun lepas.
Ameer menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang tentang kenaikan harga atau melakukan pembelian panik bagi barangan asas.
Beliau juga berkata Putrajaya bersikap proaktif. “Sebuah jawatankuasa bermesyuarat secara berkala untuk menilai situasi rantaian bekalan. Saya rasa sedikit lebih yakin (tentang situasi bekalan Malaysia) berbanding di negara lain,” katanya.
