
PETALING JAYA: Kerajaan digesa menggubal undang-undang lebih tegas dan memperketatkan pemantauan ke atas premis membeli logam terpakai bagi membendung kecurian kabel rel.
Ahli kriminologi, R Balasubramaniam, berkata premis besi buruk menjadi “lubuk” penjenayah melupuskan kabel curi, tetapi jika ada peraturan seperti mewajibkan pendaftaran pembeli, merekodkan transaksi dan audit premis, ia boleh membantu memutuskan rantaian jenayah itu.
“Tindakan ini menyasarkan pembeli sebagai orang tengah dan menyukarkan pelupusan hasil curi, sekali gus meningkatkan peluang dikesan.
“Apabila premis takut membeli bahan curi, kecurian kabel akan berkurangan kerana penjenayah tiada tempat melupuskan barangan curi itu,” katanya kepada FMT.
Awal bulan ini, kecurian kabel dikenal pasti punca operasi MRT Laluan Putrajaya terjejas apabila bekalan kuasa terganggu antara Stesen Sungai Buloh dan Damansara Damai.
Pengendalinya, Rapid Rail Sdn Bhd dilaporkan berkata, kabel kuasa dipotong dan dicuri berhampiran stesen berkenaan yang menyebabkan gangguan “serius” kepada perkhidmatan.
Itu bukan insiden pertama kerana laluan sama turut mengalami gangguan Oktober lalu akibat kecurian kabel komunikasi dan isyarat, dengan perkhidmatan hanya pulih sepenuhnya selepas lebih seminggu kerja pembaikan.
Balasubramaniam berkata, kecurian kabel rel didorong nilai tinggi tembaga di pasaran global, keuntungan cepat, akses mudah ke kawasan landasan kurang dipantau dan tekanan ekonomi, antara lain.
“Pencuri boleh mendapat sejumlah wang besar daripada menjual kabel curi. Dalam sesetengah kes, ia turut melibatkan sindiket jenayah terancang.”
Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia, Ajit Johl, pula menggesa undang-undang lebih tegas terhadap pencuri dan premis membeli kabel curi, selain meningkatkan keselamatan infrastruktur bagi mengelakkan kes kecurian kabel rel berulang.
“Jika tiada yang membeli, tiada keperluan untuk mencuri. Kedua-dua pihak perlu dikenakan hukuman setimpal,” katanya sambil menambah kecurian kabel rel tidak boleh dianggap jenayah biasa kerana kesannya sangat besar.
Jelasnya, kecurian kabel rel ialah satu bentuk sabotaj terhadap industri pengangkutan awam.
“Ia menjejaskan bukan hanya perkhidmatan, tetapi berjuta pengguna bergantung kepada pengangkutan awam setiap hari. Masa, mental dan emosi pengguna terjejas apabila perkhidmatan terganggu.”
