Ziarah raya: Penduduk Sg Golok dinasihat guna laluan sah

sungai golok
Polis menasihatkan penduduk di sepanjang Sungai Golok supaya guna ICQS untuk ziarah raya. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Polis menasihatkan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand supaya menggunakan laluan sah sekiranya ingin menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata pihaknya mengambil serius perkara itu kerana wujud kemungkinan peningkatan pergerakan rentas sempadan secara tidak sah, lebih-lebih lagi dengan paras air Sungai Golok yang kini semakin cetek.

“Keadaan sungai yang cetek ini boleh membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk menyeberang secara haram, terutama ketika musim perayaan. Saya menggesa orang ramai supaya tidak melanggar undang-undang dan sentiasa menggunakan laluan sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil,” katanya.

Tumpuan penguatkuasaan dan pemantauan akan dipertingkatkan di kawasan panas yang sering menjadi laluan penduduk tempatan dan rakyat Thailand untuk menyeberang secara haram.

“Orang ramai diingatkan supaya menggunakan kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang sah seperti di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Rantau Panjang, Bakri Sulaiman, berkata kira-kira 50,000 pengembara dijangka menggunakan Kompleks ICQS Rantau Panjang dalam tempoh tiga hari sebelum dan tiga hari selepas Aidilfitri.

Jumlah ini merangkumi pergerakan keluar masuk antara kedua-dua negara sepanjang tempoh perayaan berkenaan.

Author: admin