Loke arah Guan Eng, Chow henti berbalah secara terbuka

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata beliau akan mengadakan mesyuarat antara Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow untuk mencari penyelesaian secara baik.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mengarahkan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan penggantinya, Chow Kon Yeow menghentikan perbalahan secara terbuka berhubung isu cukai tanah negeri itu.

Loke berkata, kepimpinan pusat DAP amat bimbang dengan perbalahan terbuka antara dua pemimpin itu yang disifatkannya “tidak sihat dan tidak sesuai” untuk menangani perbezaan dalaman berhubung dasar awam.

Jelasnya, Lim selaku bekas setiausaha agung DAP dan bekas ketua menteri Pulau Pinang perlu memahami kepentingan mengekalkan disiplin parti.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata, perbezaan pendapat Adun perlu disampaikan melalui mekanisme dalaman, bukannya dibahas secara terbuka.

“Perbezaan pendapat tidak patut disuarakan dengan cara yang menjejaskan ketua menteri kita sendiri dan kerajaan negeri.

“Pada masa sama, walaupun pendekatan Lim sangat tidak wajar, Chow selaku ketua menteri perlu memberi perhatian serius terhadap kebimbangan dibangkitkannya kerana ia membabitkan kepentingan awam dan mencerminkan rungutan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Loke mengakui kerajaan Pulau Pinang perlu menyemak semula kadar cukai tanah di zon komersial, tetapi ia mesti dilakukan secara seimbang dan penuh pertimbangan.

“Perbalahan terbuka ini mesti dihentikan dan disiplin parti perlu ditegakkan sepanjang masa. Sebagai setiausaha agung DAP, saya akan mengadakan mesyuarat membabitkan kedua-dua pemimpin untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.”

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, semua pemimpin DAP perlu fokus berkhidmat kepada rakyat dan menggesa mereka mengelakkan perbalahan terbuka, sebaliknya menjalin kerjasama membina.

Sepanjang minggu lalu, Lim dan Chow berbalah berhubung isu cukai tanah.

Chow dilaporkan berkata, beberapa pemilik tanah yang mengkritik kadar baharu itu dalam sidang akhbar bersama Lim tidak memberi butiran penting seperti saiz lot dan kegunaan sebenar tanah mereka untuk perniagaan atau perindustrian.

Katanya, beberapa kes yang dibangkitkan membabitkan tanah digunakan untuk menyimpan kayu balak, meletak kontena atau lori, dijadikan tapak menjual kereta terpakai atau menjalankan aktiviti berkaitan kilang.

Lim kemudian menggesa Chow meneliti sendiri aduan itu, bukannya bergantung kepada maklum balas pegawai tanah dan galian semata-mata. Chow membalasnya dengan berkata, beliau percaya kepada pegawai terbabit.

Author: admin