
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd telah mengemukakan pelan tindakan pemulihannya LRT Laluan Kelana Jaya kepada Jemaah Menteri susulan gangguan perkhidmatan baru-baru ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Amir Hamdan.
Beliau berkata, pelan yang dibentangkan kira-kira dua hingga tiga minggu lalu itu dalam mesyuarat pasca-Kabinet merangkumi penambahbaikan teknikal dan pengalaman pelanggan.
“Saya rasa mereka telah terima laporan kami. Di pihak kami, pelan tindakan perlu dilaksanakan tepat pada masanya untuk memastikan (gangguan) tidak akan berlaku atau cuba meminimumkan risiko gangguan,” katanya selepas melawat tapak ke Stesen MRT Pasar Seni di sini.
Beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) sentiasa memantau situasi itu dan sebarang gangguan dimaklumkan serta-merta .
“Kami sediakan laporan berkala kepada mereka. Ini termasuk laporan 24 jam, tujuh hari dan 21 hari. Itu standard.”
Bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengarahkan Prasarana memberikan penjelasan dan pelan tindakan pemulihan berhubung rentetan gangguan di LRT Laluan Kelana Jaya.
Beliau turut mengarahkan Apad menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap Prasarana, jika terbukti berlaku kelemahan operasi tidak munasabah.
Ramai penumpang menyuarakan kekecewaan di media sosial terhadap gangguan berulang sejak Ramadan dan selepas berakhirnya cuti Tahun Baharu Cina.
