Hamzah seru kepimpinan berpandangan jauh untuk hadapi ketidaktentuan

Hamzah Zainudin
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin kata kepimpinan dan hala tuju negara perlu lakukan ‘reset’.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, menyeru kepada kepimpinan yang berpandangan jauh dalam menghadapi ketidaktentuan masa depan, berlatarkan konflik di Asia Barat yang jika berterusan akan menjejaskan ekonomi Malaysia.

Ahli Parlimen Larut itu berkata rakyat mengharapkan kepimpinan yang ada “hala tuju jelas, yang matang dalam membuat keputusan, dan tahu mencari jalan keluar untuk rakyat dan negara.”

“Kita mahu kerajaan lakukan yang terbaik, buat persediaan segera dengan mengemukakan pelan kontingensi agar rakyat dan negara berupaya menghadapi cabaran yang mendatang nanti.

“Sebab itu dalam soal kepimpinan dan hala tuju negara ini kita perlu lakukan ‘reset’,” katanya dalam perutusan Aidilfitri di Facebook.

Menurut Hamzah, agenda ‘reset’ beliau bukan soal kelangsungan politik mana-mana individu mahupun parti.

“Agenda ‘reset’ ini perjuangan yang bersifat menyeluruh, yang inklusif, yang berorientasikan masa depan negara,” katanya.

Semalam, Hamzah menggesa kerajaan membentangkan pelan mitigasi yang jelas dan menyeluruh di Parlimen bagi membantu rakyat menghadapi impak ekonomi, mengatakan kenaikan harga diesel akan memberi kesan rantaian, terutama ke atas kos pengangkutan yang seterusnya mendorong peningkatan harga barangan.

Kelmarin, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan harga diesel di Semenanjung Malaysia naik 80 sen kepada RM4.72 seliter, berlatarkan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.

Pada 11 Mac lalu, MoF mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung masing-masing dikekalkan pada RM1.88 dan RM2.15 seliter.

Harga diesel bersubsidi untuk rakyat di Sabah dan Sarawak juga dikekalkan pada RM2.15 seliter.

Bagi tempoh interim, bantuan tunai kepada pengguna kenderaan diesel yang layak bawah BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 untuk Mac 2026 — pembayaran tambahan RM100 dibuat mulai 17 Mac.

Author: admin