
PETALING JAYA: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Stakan menyokong penuh keputusan kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan, susulan tindakan Petronas mencabar undang-undang negeri yang mengawal selia operasi syarikat minyak milik negeri itu, Petros.
Ketua SUPP Stakan Sim Kiang Chiok berkata, langkah itu mencerminkan ‘sentimen awam yang begitu kuat’ berhubung isu itu dan perlu dilakukan bagi mempertahankan bidang kuasa perlembagaan negeri pada peringkat tertinggi.
“Rakyat Sarawak sedang ikuti kes ini dengan teliti. Sumber dan undang-undang kita bukan sekadar modal perdebatan; ia warisan setiap anak Sarawak,” katanya, lapor Borneo Post.
Sim berkata, Sarawak mesti menggunakan setiap saluran perundangan dan perlembagaan yang ada untuk melindungi haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen susulan cabaran Petronas terhadap undang-undang negeri, termasuk Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016, yang disifatkan oleh Sim sebagai tonggak autonomi ekonomi Sarawak.
Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan membenarkan Petronas meneruskan cabarannya terhadap keperlembagaan ordinan-ordinan Sarawak yang mengawal selia hal ehwal minyak dan gas.
Keesokan harinya, kerajaan Sarawak mengumumkan ia akan memfailkan petisyen silang.
“Dengan memfailkan petisyen balas, kerajaan Sarawak mahu memastikan Mahkamah Persekutuan mendengar hujah yang seimbang, yang menghormati status istimewa Sarawak serta hak kita untuk mengawal selia tanah dan sumber kita sendiri,” katanya.
Petronas menegaskan, pindaan terhadap beberapa ordinan yang diluluskan oleh DUN Sarawak telah melanggar peruntukan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Peguam syarikat itu, Cyrus Das berhujah bahawa pindaan tersebut, yang menyentuh soal perjanjian, perdagangan, pembangunan sumber mineral, serta pengeluaran dan pengedaran tenaga, hanya boleh diluluskan oleh Dewan Rakyat.
