Mercun: Remaja pecah gegendang, patah hidung

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad bernama pic 19226
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berlata seorang remaja dirawat hospital selepas mengalami cedera parah akibat mercun. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah termasuk pecah kedua-dua gegendang telinga dan patah hidung akibat bermain mercun di Lukut, Port Dickson pada 12 Mac lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata mangsa turut mengalami kecederaan pada jari, tapak tangan serta luka kecil pada bahagian muka.

“IPD Port Dickson menerima laporan kejadian itu pada 6.17 petang tadi, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 12 Mac kira-kira 11 malam.

“Mangsa bersama rakan-rakannya dipercayai menggunakan kira-kira 20 biji mercun bola dan mengubah suai bahan itu dengan menaburkan belerang ke dalam lubang tiang sebelum memasukkan satu mercun bola bagi menghasilkan letupan yang lebih kuat,” menurut kenyataan.

Beliau berkata semasa mangsa cuba menyalakan pemetik api, berlaku letupan kuat sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Alzafny berkata mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dimasukkan ke wad bermula 13 Mac 2026 sehingga hari ini,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya.

“Kes masih dalam siasatan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. Polis sedang mengesan saksi-saksi yang terlibat untuk merakam percakapan,” katanya.

Author: admin