Polis tahan lelaki pukul isteri hamil

handcuff
Polis tahan suspek berusia 22 tahun yang dipercayai belasah isterinya di sebuah pusat karaoke di Melaka pada Ahad lepas. (Gambar Rawpixel)

PETALING JAYA: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang didakwa memukul isterinya yang sedang hamil dalam kejadian di sebuah pusat karaoke di Kota Shahbandar, Melaka pada Ahad lepas.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), IPK Melaka, di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin, kira-kira 11 pagi tadi.

Sehubungan itu, Christopher meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar menyalurkannya kepada IPD Melaka Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Terdahulu dilaporkan polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai memukul isterinya yang sedang hamil.

Berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian, suspek dipercayai memukul, melempang, menarik rambut serta melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring menggunakan motosikal.

Ekoran dibelasah, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan dan menerima rawatan di Hospital Melaka.

Author: admin