
PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkongsi cara memanfaatkan ruang kecil di rumah dengan menternak ikan sebagai alternatif menjimatkan perbelanjaan dapur.
Hantaran di media sosial itu menyusul selepas beliau sebelum ini menggesa orang ramai menanam sayur sendiri susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik geopolitik di Asia Barat.
Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu berkata selain menanam sayur, kawasan halaman rumah juga boleh digunakan untuk membela ikan seperti tilapia merah dan gourami.
“Saya ada dua kolam di belakang rumah, satu untuk ikan tilapia merah dan satu lagi ikan gourami.
“Paling seronok bila tiba waktu bulan puasa macam sekarang ni. Nak berbuka sauk 2-3 ekor dari kolam, terus masuk kuali.
“Segar pun segar, paling penting memang jimat belanja dapur,” katanya.
Minggu lalu, Mohamad mempertahankan seruan beliau supaya rakyat menanam sayuran susulan ketidaktentuan bekalan global, malah menekankan negara maju seperti Jepun juga mementingkan pertanian bandar serta menggalakkan pendekatan sama.
Tegasnya, cadangan itu tidak wajar diperlekeh kerana dilaksanakan seiring dengan pelbagai langkah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menangani potensi gangguan rantaian bekalan global.
Beliau memaklumkan kerajaan mengambil langkah memperkukuh keterjaminan makanan termasuk meningkatkan stok penimbal beras negara bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan.
