Sindiket anjur ‘mini kasino’ berpangkalan di Bukit Damansara tumpas

fadil marsus
Fadil Marsus berkata sindiket aktif sejak 2022 itu menyasarkan negara di rantau Asia seperti Taiwan, Korea, Filipina dan Thailand sebagai lokasi penganjuran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menahan empat individu termasuk seorang warga Hong Kong selepas menumpaskan sindiket perjudian ‘mini kasino’ dalam serbuan di Bukit Damansara, semalam.

Serbuan kira-kira 3.30 petang itu dijalankan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur di sebuah premis pejabat di Jalan Gelenggang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 49 tahun.

“Siasatan mendapati sindiket ini mengurus, menganjur dan mempromosikan perjudian jenis mini kasino.

“Mereka menggunakan laman web dan platform media sosial untuk mempromosikan aktiviti tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sindiket aktif sejak 2022 itu menyasarkan negara di rantau Asia seperti Taiwan, Korea, Filipina dan Thailand sebagai lokasi penganjuran.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi penuh sindiket ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63.

Author: admin