
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Khalid Ismail menjelaskan mengapa pendakwah bebas Zamri Vinoth dibawa ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari, manakala aktivis Arun Dorasamy tidak.
Bercakap dalam satu sidang media, beliau berkata kesalahan yang disiasat adalah berbeza, dengan ada yang dibenarkan ikat jamin manakala ada yang tidak.
“Apabila kita maklumkan (kepada media) mengenai empat tangkapan di Putrajaya pada hari itu, kes tersebut adalah di bawah Seksyen 505 (Kanun Keseksaan). Tetapi ada satu lagi kes berkaitan akta hasutan,” katanya tanpa menamakan individu terlibat.
Khalid turut menegaskan bahawa tidakan polis itu adalah berdasarkan undang-undang.
“Mungkin orang awam lihat ia satu perkara yang berbeza, tetapi saya beri jaminan bahawa perkara sebegini adalah sesuatu yang lumrah dalam undang-undang,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan peguam Zamri yang mempersoalkan mengapa anak guamnya digari ketika dibawa ke mahkamah sedangkan Arun tidak.
Kedua-dua lelaki itu, yang terlibat kontroversi isu tanah kuil, didakwa di mahkamah berasingan pada Isnin atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Khalid berkata Zamri juga dijadual berdepan pertuduhan ikut akta hasutan di Pulau Pinang kerana didakwa menghina masyarakat India.
Kesalahan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 505 lazimnya tidak boleh dijamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.
