Pekerja warga China tikam penyelia sampai mati dijel 30 tahun

kompleks mahkamah tinggi johor bahru
Mahkamah Tinggi Johor Bahru tidak jatuhkan hukuman mati terhadap Zhu Jia Hong atas alasan pembunuhan itu tidak dirancang dan berlaku akibat pertengkaran yang bertukar jadi pergelutan. (Gambar Wikimedia Commons)

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang pekerja pembinaan warga China kerana membunuh penyelianya tujuh tahun lalu.

Hakim Noor Hayati Mat menjatuhkan hukuman itu ke atas Zhu Jia Hong selepas memutuskan bahawa tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam pembelaannya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapannya pada 6 Julai 2019.

Berdasarkan fakta kes, Zhu bertengkar dengan penyelianya, Zhao Changxiang, berhubung gaji yang tidak dibayar pada malam 6 Julai 2019 di pejabat tapak asrama di Forest City, Iskandar Puteri.

Rakan sekerjanya yang memberi keterangan berkata mereka hanya melihat Zhu memegang sebilah pisau sebelum dia melarikan diri dari tempat kejadian. Tiada seorang pun daripada mereka melihat tertuduh menikam Zhao.

Pakar patologi forensik, Zubair Abdul Razak, yang menjalankan bedah siasat, berkata mangsa mengalami 23 kesan kecederaan pada tubuhnya termasuk satu tikaman di dada yang menyebabkan pendarahan besar hingga membawa maut.

Hakim berkata Zhu gagal membuktikan bahawa dia bertindak mempertahankan diri apabila mendakwa Zhao menyerangnya semasa pertengkaran itu.

“Bukti tidak menyokong kesimpulan bahawa tertuduh bertindak dalam had sah mempertahankan diri.

“Laporan perubatan menunjukkan si mati mengalami 23 kecederaan, termasuk satu tikaman di dada yang menembusi jantung.

“Jumlah kecederaan yang dialami si mati menunjukkan kekerasan yang digunakan oleh tertuduh adalah berlebihan dan jauh melebihi apa yang diperlukan untuk mempertahankan diri,” katanya.

Mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas Zhu atas alasan pembunuhan itu tidak dirancang terlebih dahulu.

Kata mahkamah, kejadian berlaku akibat pertengkaran secara tiba-tiba yang bertukar menjadi pergelutan dan melibatkan pisau yang kebetulan berada dalam milikan tertuduh.

“Walaupun akibatnya serius, cara kesalahan itu berlaku tidak termasuk dalam kategori kes yang wajar untuk mahkamah menjatuhkan hukuman mati,” kata hakim.

Author: admin