
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu menolak alasan Hamzah Zainudin yang pertemuan dengan Presiden Umno Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand, Disember lalu atas arahan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyatukan pemimpin Melayu.
Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz berkata ini kerana parti itu dan Presiden Muhyiddin Yassin tidak mendapat sebarang minit dipanjangkan daripada Sekretariat Orang Melayu (Payung Besar) mengenainya.
Dakwanya, lebih menghairankan Presiden PAS Hadi Awang dikatakan mengetahui pertemuan itu tetapi Muhyiddin serta majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) tidak dimaklumkan.
“Dikatakan lawatan itu adalah jemputan rasmi berkaitan Sukan SEA. Namun peliknya, tiada sebarang perkongsian di media sosial dan tidak dilaporkan oleh mana-mana media.
“Sedangkan lawatan Hamzah ke Singapura sebelum ini dilaporkan media dan dimuat naik di platform media sosial,” katanya di Facebook.
Beliau mengulas kenyataan Hamzah yang mendakwa usaha beliau menyatukan pemimpin Melayu membawa kepada pemecatannya dalam Bersatu, bulan lalu.
Hamzah berkata usahanya itu termasuk bertemu Zahid yang didakwa diadakan atas permintaan Mahathir.
Pertemuan di Bangkok itu disebut dalam liputan media menyusuli pemecatan Hamzah, 13 Feb lalu. Muhyiddin sebelum ini menuduh Hamzah terlibat dalam rundingan dengan Zahid untuk membentuk percaturan politik baharu, tanpa pengetahuan serta kebenaran parti.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata pertemuan di antara 10 hingga 12 Dis itu tidak pernah dibangkitkan sedangkan dalam tempoh terbabit ada beberapa mesyuarat sepatutnya boleh menjadi platform mendapatkan mandat dan memaklumkan perkembangannya.
“Persoalannya, mengapa pertemuan antara Hamzah dan beberapa individu lain dengan Zahid di Bangkok perlu dirahsiakan, sedangkan ia didakwa program rasmi melibatkan ketua whip dan Ketua Pembangkang?
“Jika benar program rasmi, mengapa tidak dilaporkan media dan tidak dimuat naik di media sosial? Kenapa disenyapkan?,” katanya.
