
TAIPING: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti secara menyeluruh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan keputusan yang bakal dibuat mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa dan murid.
Timbalan Menteri Wong Kah Woh berkata KPM akan memastikan sebarang keputusan yang dibuat itu tidak menjejaskan murid serta pelajar supaya sesi pembelajaran dapat berjalan lancar.
“Bagi pihak KPM, kita akan buat keputusan yang terbaik bagi warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak.
“Bagaimanapun, semua pihak perlu menunggu keputusan dan pengumuman akhir daripada Jemaah Menteri (mengenai bekerja dari rumah atau BDR) yang dijangka dibuat pada minggu depan sebelum sebarang ulasan lanjut dapat diberikan,” katanya pada majlis berbuka puasa.
Pada masa sama, beliau berkata KPM masih menunggu keputusan Jemaah Menteri berhubung inisiatif BDR yang sedang diteliti kerajaan.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad memaklumkan KPM akan mengadakan perbincangan khusus minggu depan bagi memperhalusi mekanisme BDR termasuk PdPR dalam kalangan pelajar serta penjawat awam, sekiranya dasar berkenaan diputuskan untuk dilaksanakan kerajaan.
Pada Khamis lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb lepas susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.
