Kerajaan tanggung subsidi bahan api RM3.2 bilion sebulan

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata walaupun berdepan kesan kenaikan harga minyak akibat krisis di Asia Barat, kerajaan akan usaha bagi memastikan rakyat disokong dengan mengekalkan inisiatif BUDI95. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemberian subsidi bagi petrol dan diesel oleh kerajaan meningkat sehingga RM3.2 bilion sebulan dalam usaha memastikan rakyat terus menerima manfaat susulan kenaikan harga bahan api akibat krisis global di Asia Barat.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata subsidi kerajaan bagi petrol menerusi inisiatif BUDI95 meningkat kepada RM2 bilion berbanding RM700 juta sebelum ini, manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion.

“Walaupun berdepan implikasi kenaikan harga minyak global, kerajaan akan terus mengambil penekanan untuk memastikan rakyat disokong dan kita dapat mengekalkan pemberian inisiatif BUDI95.

“Beban ini masih boleh ditampung kerajaan kerana kita sudah melaksanakan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tiga tahun kerajaan memerintah,” katanya sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Beliau berkata bekalan minyak dan gas yang ada juga stabil dan mampu bertahan untuk tempoh beberapa bulan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kita tidak ada gangguan bekalan seperti beberapa negara lain namun kita tidak kata tidak akan terkesan kerana harga minyak ditentukan pasaran dunia yang sudah melonjak,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Mohamad memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara terutama menjelang sambutan Aidilfitri mencukupi biarpun berdepan konflik berkenaan.

Katanya, bekalan makanan asas negara seperti beras, ayam, sayuran dan buah-buahan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei atau Jun ini.

“Buat masa ini jangan kita bimbang apa-apa, kita sambut Hari Raya Aidilfitri dengan tenang dengan konsep berjimat cermat seperti yang disarankan oleh perdana menteri.

“Bekalan beras, daging ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur, buah-buahan semuanya cukup sekurang-kurang sampai Mei dan Jun yang akan datang. Jadi rakyat tidak perlu panik,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga bersetuju meningkatkan stok simpanan beras sehingga tempoh sembilan bulan lagi bagi memastikan keterjaminan makanan negara.

Author: admin