Lantik terus peguam kanan sebagai hakim, gesa bekas ketua Badan Peguam

hakim Judges
Perlembagaan Persekutuan membenarkan pelantikan 11 hakim Mahkamah Persekutuan, 32 hakim Mahkamah Rayuan dan 94 hakim di Mahkamah Tinggi Malaya, Sabah serta Sarawak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dua bekas presiden Badan Peguam menggesa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mempertimbangkan peguam berpengalaman dicadangkan untuk pelantikan terus hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, tanpa perlu berkhidmat sebagai pesuruhjaya kehakiman (JC).

Mereka berkata, ramai peguam kanan dan pertengahan mempunyai keupayaan serta kepakaran mengendalikan kes sivil dan jenayah rumit dengan pantas.

Menurutnya, sejarah menunjukkan peguam meninggalkan rekod perkhidmatan cemerlang sebagai hakim dan dalam pentadbiran kehakiman.

Ragunath Kesavan berkata ada calon mencukupi dengan kepelbagaian kepakaran dalam kalangan 27,000 peguam di seluruh negara yang sesuai dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Katanya, peguam seperti VC George, Mahadev Shankar, Zaki Azmi dan mendiang Gopal Sri Ram meninggalkan kesan mendalam sebagai hakim, walaupun dilantik tanpa melalui “tempoh percubaan” sebagai JC.

“Zaki dilantik terus ke Mahkamah Persekutuan dan kemudian menjadi ketua hakim negara. Beliau paling diingati kerana memperkenalkan teknologi maklumat dalam badan kehakiman serta merangka strategi menyelesaikan tunggakan kes.”

Jelasnya, bekas peguam seperti Mah Weng Kwai, Ariff Yusoff, Darryl Goon dan Nallini Pathmanathan yang berkhidmat sebagai JC, dikenali membuat banyak penghakiman bernas.

Jumlah kes jenayah didaftarkan di mahkamah rendah dan Mahkamah Tinggi seluruh negara meningkat kira-kira 63%, daripada 1.5 juta pada 2021 kepada 2.5 juta tahun lalu.

Pendaftaran kes sivil meningkat daripada 303,335 kepada 483,933 kes dalam tempoh sama.

Ditubuhkan pada 2009, amalan semasa JAC ialah melantik peguam dan pegawai kehakiman daripada kerajaan sebagai JC selama dua hingga empat tahun sebelum dilantik sebagai hakim.

Ragunath yang menerajui Badan Peguam dari 2009 hingga 2011, berkata kenaikan gaji sebanyak 30% bagi hakim mahkamah atasan baru-baru ini – 10 tahun selepas semakan terakhir – berpotensi menarik lebih ramai peguam dilantik sebagai hakim.

Gaji pokok bulanan hakim Mahkamah Tinggi ialah RM34,450, manakala hakim Mahkamah Rayuan dibayar RM35,750. Mereka turut menikmati pelbagai elaun dan kemudahan lain.

“Tetapi, gaji hakim mesti diselaraskan dengan kenaikan tahunan bagi menampung kadar inflasi, bukan selepas 10 tahun.”

Ragunath berkata, hakim tidak menunjukkan prestasi boleh dipujuk meletak jawatan, seperti dilakukan sebelum ini. Pada masa sama, ketua hakim negara juga boleh menubuhkan tribunal untuk membicarakan hakim dituduh melakukan salah laku.

Salim Bashir berkata, Perlembagaan membenarkan peguam negara dilantik terus ke Mahkamah Persekutuan, manakala pelantikan peguam cara negara ke Mahkamah Rayuan berdasarkan konvensyen.

“Mewajibkan peguam melalui tempoh percubaan berisiko menolak calon terbaik daripada badan kehakiman,” katanya yang mengetuai Badan Peguam antara 2020 dan 2021.

Menurutnya, menarik calon pelbagai latar belakang dalam Badan Peguam juga dapat membantu meningkatkan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.

“Peguam kanan mempunyai akhlak baik dan berpengetahuan luas dengan kepakaran khusus dalam bidang undang-undang berkaitan wajar dilantik hakim mahkamah atasan kerana jaminan jawatan tetap amat penting.”

Jelasnya, tiada had jumlah JC boleh dilantik, tetapi Perlembagaan Persekutuan ketika ini hanya membenarkan pelantikan 11 hakim Mahkamah Persekutuan, 32 hakim Mahkamah Rayuan dan 94 hakim di Mahkamah Tinggi Malaya, Sabah serta Sarawak.

“Kerajaan perlu meminda Perlembagaan untuk membolehkan lebih ramai hakim dilantik,” katanya.

Author: admin