
PETALING JAYA: Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein berkata beliau tiada masalah untuk kembali menyertai parti itu susulan tawaran dibuka seluas-luasnya oleh Presiden Zahid Hamidi, minggu lalu.
Bekas ketua Umno Sembrong itu berkata beliau terharu dengan pengumuman Zahid yang parti itu membuka seluas-luasnya pintu ‘Rumah Bangsa’ kepada bekas pemimpin yang telah dipecat dan digantung tanpa syarat.
“Itu (masuk semula Umno) bukan satu perkara yang sukar kerana saya tak pernah keluar parti dan menimbulkan sebarang masalah.
“Isunya ialah status saya sebagai ahli Umno di mana sebelum ini Majlis tertinggi telah membuat keputusan untuk menggantung saya.
“Kalau betul mereka ikhlas dan pucuk pimpinan tarik balik penggantungan, saya akan kembali terus berjuang dalam Umno,” katanya di Facebook.
Pada 2023, Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun.
Minggu lalu, Zahid mengundang ahli yang pernah dipecat atau digantung kembali ke parti itu.
Menurutnya, tawaran tanpa syarat itu demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali ‘keluarga besar’ Umno.
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang dipecat memberi maklum balas positif terhadap undangan Zahid itu.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menghantar permohonan menyertai Umno.
