2 petugas taska bayi meninggal tak ikut Kursus Asuhan Permata

Lim Siew Khim
Exco Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata setiap petugas taska, tadika dan pusat jagaan wajib mengikuti kursus itu untuk kekal tahap profesionalisme, tanggungjawab serta kualiti penjagaan. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Dua pekerja taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang direman bagi membantu siasatan kematian seorang bayi lelaki empat bulan pada Isnin lalu tidak mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim, berkata berdasarkan peraturan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setiap petugas taska, tadika dan pusat jagaan (TTPJ) wajib mengikuti KAP bagi memastikan tahap profesionalisme, tanggungjawab serta kualiti penjagaan sentiasa kekal standard ditetapkan.

“Berdasarkan siasatan JKM, terdapat tujuh petugas di taska itu dan 44 kanak-kanak berusia empat tahun, termasuk bayi lelaki yang meninggal dunia dalam kejadian itu dihantar ke taska beroperasi 24 jam sehari.

“Pemeriksaan juga mendapati tujuh petugas, termasuk dua wanita ditahan itu tidak mengikuti KAP yang sememangnya diwajibkan kepada petugas TTPJ.

“Hakikatnya, masih terdapat pengasuh yang diambil bekerja di TTPJ, khususnya pengambilan baharu yang belum memenuhi syarat tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu, dua wanita berumur 22 tahun yang juga pengasuh di taska itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Lim berkata, hasil pemeriksaan mendapati taska beroperasi sejak empat tahun lalu itu berdaftar secara sah dan mematuhi syarat berkaitan pendaftaran serta National Integrated System of Childcare.

Sehingga kejadian itu, katanya, JKM tidak pernah menerima sebarang aduan daripada ibu bapa atau penjaga yang menghantar anak mereka ke taska terbabit.

“Ekoran kejadian itu, JKM mengarahkan taska terbabit ditutup bermula hari kejadian, iaitu 9 Mac lepas dan tidak dibenarkan beroperasi sehingga siasatan polis selesai,” katanya sambil menambah penutupan sementara dibuat mengikut Seksyen 16 Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.

Author: admin