Hadir majlis buka puasa Hamzah bukan perkara besar, kata Muhyiddin

Hamzah Zainudin
Majlis berbuka puasa anjuran Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dihadiri Presiden Gerakan, Dominic Lau, dan Presiden MIPP, P Punithan, antara lain.

PETALING JAYA: Kehadiran pemimpin-pemimpin Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pada majlis berbuka puasa anjuran Hamzah Zainudin bukan perkara besar, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata mereka mungkin sekadar memenuhi undangan, memandangkan bulan ini merupakan masa untuk ramah mesra dan silaturahim.

Beliau berkata kehadiran mereka “tidak bermakna nawaitu mereka dah beralih pasal yang ketua pembangkang pun tak ada apa-apa lagi pun, sewajarnya tak pakai lagi lah perkataan ‘ketua pembangkang’,” katanya lapor Malaysia Gazette.

Hamzah, bekas timbalan Muhyiddin, semalam mengadakan majlis berbuka puasa yang dihadiri Presiden Gerakan, Dominic Lau, dan Presiden MIPP, P Punithan, antara lain.

Turut kelihatan Presiden MIC, SA Vigneswaran; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir; dan naib presiden Bersatu yang baru-baru ini digantung keahlian, Ronald Kiandee.

Hamzah dipecat daripada Bersatu pada 13 Feb, di tengah-tengah kemelut kepimpinan dengan Muhyiddin, namun kekal sebagai ketua pembangkang memandangkan Perikatan Nasional tersebut belum menamakan pemimpin baharu.

Ditanya mengenai mesyuarat majlis tertinggi PN pada 14 Mac untuk memutuskan ketua pembangkang baharu, Muhyiddin mengesahkan beliau akan menghadiri mesyuarat tersebut.

Author: admin