KKM tekad banteras salah laku, perkasa ekosistem kerja selamat

DZULKEFLY AHMAD
Menteri Dzulkefly Ahmad kata KKM komited memperkasa ekosistem kerja yang selamat dan kondusif.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkasakan pelaksanaan pekeliling perkhidmatan bagi mejamin tiada kekaburan dalam menangani isu salah laku.

Menteri Dzulkefly Ahmad berkata pekeliling itu melarang penggunaan bahasa kasar, maki hamun, penghinaan secara terbuka, mahupun sebarang gangguan emosi yang melampaui batas profesionalisme.

Tegasnya, pengurusan tertinggi di setiap fasiliti kesihatan perlu mengambil tanggungjawab mewujudkan budaya kerja harmoni dan penyayang, serta wajib menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang aduan tanpa kompromi atau melindungi mana-mana individu.

“Saya ingin menegaskan bahawa kegagalan pemimpin untuk bertindak balas terhadap aduan adalah satu kegagalan tadbir urus yang serius,” menurut kenyataan.

Dzulkefly berkata pekeliling ttu menjadi rujukan mandatori dalam tindakan tatatertib bagi memastikan setiap aduan diproses secara adil dan telus di semua peringkat fasiliti, dan KKM komited memperkasa ekosistem kerja yang selamat dan kondusif.

Pada Ogos tahun lalu, KKM melancarkan garis panduan pengurusan buli di tempat kerja, menjadikannya kementerian pertama dalam sektor awam yang memperkenalkan dokumen khusus bagi menangani isu tersebut.

Setakat 31 Julai tahun sama, sebanyak 430 aduan buli direkodkan melalui sistem MyHealth, lapor Berita RTM.

Author: admin