
PETALING JAYA: Nurul Syazwani Noh, anak kepada bekas ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu, Noh Omar, mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua penerangan Wanita Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan perkembangan terkini dalam kepimpinan sayap, termasuk penggantungan ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin.
Jelasnya, jawatan disandang merupakan lantikan bawah kepimpinan Ermieyati, justeru beliau merasakan wajar dan berprinsip untuk melepaskannya.
“Sebagai wakil rakyat wanita paling muda dalam parti ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dan bimbang melihat keadaan yang sedang berlaku dalam organisasi kita hari ini,” menurut kenyataan.
Nurul Syazwani adalah Adun Permatang. Sebelum ini, beliau meluahkan rasa sedih terhadap pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden, namun menghormati dan akur keputusan parti.
Hari ini, Syazwani berkata Bersatu kini kelihatan sedang melalui fasa yang sangat mencabar dari sudut kestabilan kepimpinan dan kesatuan dalaman.
“Lebih membimbangkan lagi apabila wakil rakyat yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat turut dikenakan tindakan pemecatan dan penggantungan,” katanya.
Terdahulu, Bersatu mengeluarkan notis bahawa keahlian Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin digantung selama dua penggal pemilihan, dan melucutkan semua jawatan dipegang.
Tindakan ini menyusuli surat tunjuk sebab, dilaporkan kerana menghantar surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan bagi memaklumkan sokongan 13 Ahli Parlimen Bersatu kepada Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang di Parlimen.
Mas Ermieyati boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Ayahnya, Noh Omar melepaskan jawatan ahli MPT bulan lepas, kerana kecewa dengan lembaga disiplin parti yang didakwa tidak menghormati keputusan majlis, berhubung penangguhan tindakan disiplin ahli.
