
PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat sasaran Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di 115 kerusi parlimen pada PRU16 mungkin tidak realistik, memandangkan Umno masih terlalu lemah untuk mencabar PAS di kawasan majoriti Melayu.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata Umno, yang merupakan tunjang BN, hanya berasa yakin disebabkan kemenangannya dalam siri PRK sebelum ini.
“Kemenangan Umno juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti sumbangan undi daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) dan bantuan jentera kerajaan persekutuan yang kuat,” katanya kepada FMT.
Mazlan juga beri amaran bahawa parti komponen seperti MCA dan MIC mungkin mengalami kekalahan paling teruk sekiranya BN dan PH bertembung secara bersemuka.
“Selagi pengundi bukan Melayu masih menyokong PH, terutamanya DAP, prestasi MCA dan MIC akan terus merosot seperti dalam pilihan raya lalu.
“Parti-parti ini bergantung kepada Umno, terutamanya di kawasan dengan pengundi Melayu yang dominan,” katanya.
Malaysiakini melaporkan bahawa BN berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi parlimen pada PRU16 bagi beri isyarat bahawa ia bukan sekadar ‘pemain kedua’ di belakang PH dalam kerajaan perpaduan.
Rancangan itu mengandaikan bahawa semua kerusi yang tidak dimenangi oleh PH di Semenanjung Malaysia dan Sabah boleh diperuntukkan kepada BN, dan mungkin memerlukan PH menyerahkan beberapa kerusi parlimen daripada 79 yang dipegangnya sekarang.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata sasaran BN itu adalah bercita-cita tinggi tetapi boleh dilaksanakan dalam parlimen yang mempunyai 222 kerusi.
“Ini meninggalkan 107 kerusi untuk PH. Seperti yang dikatakan Pengerusi BN Zahid Hamidi, gabungan itu sedang memberi tumpuan kepada negeri-negeri diterajui PAS yang mempunyai majoriti Melayu, yang merangkumi kira-kira 40 kerusi,” katanya.
Beliau berkata prospek BN diperkukuh oleh masalah dalaman Perikatan Nasional (PN), yang berpunca daripada pertelingkahan antara rakan sekutu PAS dan Bersatu serta ketegangan puak dalam Bersatu sendiri.
“BN akan menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik menentang PN berbanding PRU15. PN kini dalam keadaan kucar-kacir, dan BN buat keputusan berani dengan bertanding solo,” katanya.
