Hamzah tak sertai Umno kerana PAS, kata penganalisis

Hamzah Zainudin
Penganalisis telah jangka Hamzah Zainudin tidak akan kembali ke Umno.

PETALING JAYA: Penganalisis sudah menjangkakan Hamzah Zainudin tidak akan kembali ke Umno, meramalkan ia berkaitan dengan PAS dan akar umbi Umno sendiri.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Hamzah yang mempunyai hubungan rapat dengan PAS dilihat sebagai salah satu tokoh dalam Perikatan Nasional (PN), maka kembali menyertai Umno mungkin akan menjejaskan kepercayaan rakan.

“Walaupun Umno membuka pintu, langkah tersebut memerlukan pertimbangan yang sangat besar dari pihak Hamzah sendiri,” katanya kepada FMT.

Hamzah mengumumkan beliau tidak akan kembali kepada Umno, semalam, di sebalik kesudian parti itu menerima semula bekas ahli tanpa syarat.

Penganalisis dihubungi FMT menjangkakan perkembangan ini, walaupun bekas menteri, Khairy Jamaluddin, Sabtu lalu, berpandangan langkah Umno membuka pintu kepada bekas ahli mungkin untuk membawa kembali Hamzah, yang dipecat Bersatu pada 13 Feb susulan krisis dalaman.

“Akar umbi Umno dikatakan tidak mahu menerima secara langsung kumpulan Hamzah ataupun kumpulan-kumpulan yang dikatakan mengkhianati Umno,” kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara kepada FMT.

Beliau bagaimanapun percaya Hamzah akan perlu bekerjasama dengan Umno, mungkin menerusi kolaborasi ‘Rumah Bangsa’ yang diuar-uarkan Umno atau parti baharu.

Hamzah semalam berkata Umno sepatutnya menjadi salah satu pihak yang bersama dalam agenda ‘reset’ dibawanya.

Syaza berkata penubuhan parti boleh menjadi ‘jalan tengah’ bagi Hamzah, namun itu memerlukan sumber kewangan yang besar, jentera yang kuat, dan penerimaan yang belum terjamin.

Namun suatu bentuk kerjasama antara Hamzah, PAS dan Umno bukan perkara mustahil, katanya.

“Kerjasama tak semestinya melalui keahlian parti yang sama… sebaliknya boleh melalui kerjasama pilihan raya, kerjasama di peringkat Parlimen, atau platform politik baharu,” katanya.

PAS mengumumkan ia tidak akan tergopoh-gapah berhubung isu peranan ketua pembangkang di Parlimen, sekaligus menyaksikan Hamzah kekal pada kedudukan itu, meskipun majlis tertinggi PN bersetuju PAS mengambil alih peranan itu.

PAS kini mempengerusikan PN. Parti itu menduduki 43 kerusi daripada daripada keseluruhan 62 Ahli Parlimen PN di Dewan Rakyat.

Author: admin