
PETALING JAYA: PKR sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap seorang aktivis yang mengaku ‘menganjing’ parti itu dengan memohon keahlian dan menggunakan logonya di media sosial.
Timbalan Setiausaha Agung PKR Aidi Amin Yazid berkata, parti itu memandang serius setiap permohonan keahlian dan mengharapkan pemohon berkongsi nilai yang sama.
Beliau berkata, partinya mengambil maklum tentang pengakuan aktivis tersebut bahawa permohonan keahliannya hanyalah gurauan.
“(Individu tersebut) telah mencemarkan nama baik parti dengan menyalahgunakan logo dalam hantaran media sosialnya sebelum ini.
“PKR sedang meneliti tindakan undang-undang terhadapnya bagi menghalang perbuatan ‘menganjing’ pada masa akan datang yang boleh mencetuskan ketidakharmonian di sebalik permohonan keahlian,” katanya menambah, keahlian aktivis tersebut masih belum disahkan.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak mengaku beliau sekadar ‘menganjing’ PKR dan penyokongnya dengan mendaftar untuk menyertai parti itu.
Menurutnya, pengumuman terbukanya mengenai perkara itu tidak lebih daripada sekadar bahan jenaka.
“Benda gurau bila kena terangkan, jadi tak best. Yelah, nanti aku hantar borang PAS pulak. Ok tak pembaris?” katanya menerusi Facebook semalam.
Khamis lepas, Tamim memuat naik dua hantaran di Facebook, menyuarakan hasrat untuk menyertai PKR sambil meminta borang pendaftaran, kemudian memaparkan permohonan dalam taliannya yang telah lengkap dan sedang menunggu kelulusan.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh semalam menjelaskan, permohonan tersebut perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu sebelum diluluskan.
