KDN siasat elemen jenayah terancang dalam kes tembakan

saifuddin nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersama Komander AKPS Mohd Nasaruddin M Nasir beramah mesra dengan anggota AKPS hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk kemungkinan wujud elemen jenayah terancang, susulan penahanan sembilan individu disyaki terbabit dalam insiden melepaskan tembakan ke arah kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Mohd Nasaruddin M Nasir di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Rabu lepas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes itu belum diklasifikasikan sebagai jenayah terancang kerana proses pengumpulan bukti masih dijalankan.

“Semalam kita menahan dua lagi individu, menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini sembilan orang. Kumpulan itu terdiri daripada lapan lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing.

“Pihak polis juga akan memohon perintah reman ke atas dua suspek yang baru ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Pelbagai hipotesis siasatan sedang dikaji.

“Kita masih meneliti sama ada mereka ini bertindak sebagai satu kumpulan,” katanya dalam sidang media selepas program di Kampung Simpul Belubang, Machang, lapor Bernama.

Saifuddin berkata, jika kejadian itu merupakan jenayah terancang, ia perlu memenuhi kriteria di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, iaitu melibatkan dua atau lebih individu yang memperoleh manfaat, sama ada melalui pengaruh atau wang ringgit.

Beliau menambah, antara fokus utama siasatan termasuk kemungkinan penglibatan kumpulan itu dalam kegiatan penyeludupan barangan, penyeludupan manusia dan migran, pemerdagangan manusia serta ancaman terhadap penguat kuasa.

Menyentuh mengenai motif insiden, Saifuddin tidak menolak kemungkinan ia suatu bentuk tindak balas dendam sindiket susulan tindakan tegas kerajaan memperketat kawalan sempadan baru-baru ini.

Sebelum ini, polis menahan sembilan individu, termasuk seorang wanita warga Thailand, berusia antara 22 hingga 52 tahun dalam beberapa serbuan di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis, pada hari selepas kejadian.

Insiden berlaku apabila Proton X70 yang dipandu Mohd Nasaruddin ditembak pada pukul 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, kira-kira 1km dari sempadan Malaysia-Thailand.

Suspek yang menaiki motosikal dipercayai melepaskan dua das tembakan menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan beliau.

Author: admin