Pendidikan bukan 1 perjudian

tahun darjah 1

Media sosial dan kumpulan WhatsApp ibu bapa menjadi kecoh apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lalu mengumumkan bahawa bermula 2027. Ibu bapa mempunyai pilihan untuk mendaftarkan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki Tahun 1.

Pengumuman itu dibuat ketika pelancaran kerangka Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Fahlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.

Yang menimbulkan persoalan bukan sekadar kandungan dasar tersebut, tetapi bagaimana ia diumumkan. Perdana menteri sendiri menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada asalnya menyasarkan pelaksanaan sekitar tahun 2029 atau 2030, namun diarahkan supaya disegerakan atas keyakinan beliau terhadap kemampuan kementerian.

Tambahan pula, pengumuman ini disusuli dengan mengumumkan ujian diagnostik untuk menyaring pengambilan pelajar yang ditarik semula beberapa hari kemudian selepas mendapat bantahan ramai.

IDEAS

Hal ini secara tidak langsung menimbulkan tanggapan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan tergesa-gesa.

Perubahan ini bukan sahaja mencetuskan keresahan dalam kalangan ibu bapa, malah berpotensi membawa implikasi besar kepada sistem persekolahan. Tahun 2027
mungkin menyaksikan lonjakan mendadak jumlah murid Tahun 1.

Soalnya, adakah sekolah sudah bersedia? Isu kelas yang padat, kekurangan bilik darjah, prasarana yang terhad, jumlah guru yang tidak mencukupi serta latihan pendidikan awal kanak-kanak
dalam kalangan guru sedia ada bukanlah perkara kecil.

Lebih penting lagi, adakah kanak-kanak itu sendiri benar-benar bersedia? Kematangan emosi, keupayaan mengurus diri, serta kemahiran komunikasi dan sosial adalah asas penting sebelum memasuki persekitaran pembelajaran formal yang lebih berstruktur.

Sementelah, turut membimbangkan ialah ketiadaan maklumat jelas tentang proses libat urus sebelum pengumuman dibuat. Ibu bapa, guru, pentadbir sekolah dan pengusaha
tadika swasta merupakan pemegang taruh utama dalam ekosistem pendidikan awal.

Jika pertemuan sebegini hanya diadakan selepas pengumuman, ia lebih menyerupai pengurusan krisis berbanding perundingan bermakna. Keadaan ini menimbulkan persoalan lebih besar: adakah
perubahan dasar sebelum ini juga melalui proses yang sama?

Dalam ucapannya, perdana menteri menyatakan langkah itu diambil kerana banyak negara lain memulakan pendidikan formal pada usia enam tahun.

Namun, perbandingan umur semata-mata tidak mencerminkan keseluruhan ekosistem pendidikan. Negara-negara tersebut lazimnya mempunyai sistem prasekolah yang kukuh, nisbah guru-murid yang lebih rendah serta latihan khusus dalam pedagogi perkembangan awal kanak-kanak.

Tanpa memahami konteks, objektif dan nilai yang menyokong amalan tersebut, meniru secara langsung berisiko menghasilkan dasar yang tidak selari dengan realiti tempatan.

Pelaksanaan dasar yang kelihatan terburu-buru ini akhirnya menimbulkan persoalan lebih besar tentang cara dasar pendidikan dirangka dan dilaksanakan. Ramai ibu bapa telah merancang laluan pendidikan anak-anak berdasarkan sistem sedia ada, termasuk tempoh di tadika, persediaan kewangan dan pertimbangan tahap kematangan anak.

Perubahan mendadak tanpa tempoh peralihan yang munasabah bukan sahaja mengganggu perancangan, malah memberi tekanan emosi kepada keluarga.

Jika dasar ini benar-benar ingin diteruskan, pendekatan yang lebih berhemah ialah melaksanakannya secara berperingkat mengikut kohort kelahiran, bukannya secara menyeluruh pada 2027, sekalipun ianya bersifat pilihan dan bukan wajib.

Pendekatan ini akan memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat penyesuaian, membolehkan KPM merancang sumber dengan lebih sistematik dan mengurangkan kejutan kepada
sekolah.

Alternatif lain ialah melaksanakan ujian rintis di beberapa buah sekolah terpilih, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar. Ujian rintis boleh menilai kesediaan
prasarana, beban kerja guru, kesesuaian kurikulum serta kesan terhadap perkembangan murid.

Dapatan empirikal ini wajar menjadi asas sebelum sebarang peluasan secara nasional. Dasar yang baik seharusnya dilaksanakan berasaskan bukti, bukan sekadar keyakinan.

Persoalan kurikulum juga tidak boleh diketepikan. Tahun 1 ketika ini masih memberi penekanan kuat kepada penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira). Walaupun
kemahiran ini penting, kanak-kanak enam tahun secara umumnya lebih sesuai dengan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan, penerokaan sosial dan pembinaan kemahiran kendiri.

Tanpa semakan pedagogi yang menyeluruh, risiko murid tercicir sejak awal persekolahan adalah nyata, dan kesan kegagalan awal sering berpanjangan terhadap keyakinan diri serta pencapaian akademik.

Sebelum dasar ini dilaksanakan, KPM wajar menjelaskan secara telus demi membuang kegusaran masyarakat, khususnya para ibu bapa terlibat: apakah kajian yang telah dijalankan, apakah analisis impak terhadap infrastruktur dan tenaga pengajar, serta apakah pelan peralihan untuk memastikan tiada murid yang tercicir dalam pembelajaran.

Reformasi pendidikan bukanlah perlumbaan untuk menjadi seragam dengan negara lain. Ia adalah usaha memastikan setiap anak Malaysia mendapat permulaan terbaik mengikut konteks budaya, nilai masyarakat dan kapasiti institusi negara.

Mungkin, reformasi yang lebih mustahak adalah memastikan semua kanak-kanak mempunyai capaian kepada pendidikan awal terlebih dahulu sebelum memulakan pendidikan formal.

Dalam soal pendidikan, kecepatan bukan ukuran keberanian. Keberanian sebenar ialah kesediaan untuk menguji, mendengar dan memperbaiki sebelum melaksanakan perubahan secara menyeluruh.

Masa depan generasi akan datang menuntut bukan sekadar niat yang baik, tetapi juga proses yang teliti dan berhemah. Masa depan mereka tidak wajar diperjudikan demi sekadar satu perubahan kosmetik semata.

 

Penulis ialah eksekutif kanan, advokasi dan program di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT serta IDEAS.

Author: admin