Keputusan CAS berkait 7 pemain warisan dijangka minggu depan

FAM LOGO-OFFICE
FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaysia dikenakan tindakan oleh Fifa selepas badan bola sepak dunia itu mendakwa FAM mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit.

PETALING JAYA: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijangka membuat keputusan minggu depan berhubung rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap tindakan Fifa ke atas badan itu dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang terbabit dengan dakwaan pemalsuan dokumen.

Jurucakap CAS memaklumkan bahawa panel akan mengambil masa untuk bermesyuarat dan membuat pertimbangan lanjut susulan pendengaran kes berkenaan semalam, lapor Buletin TV3.

“Saya tidak dapat memberikan tempoh masa yang tepat bagi keputusan itu, namun keputusan (tanpa alasan penghakiman) dijangka akan dikeluarkan minggu depan.

“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, satu kenyataan media akan dikeluarkan. Selepas keputusan diumumkan, satu penjelasan penuh akan disediakan dan dikeluarkan kepada pihak terbabit.

“Sekiranya pihak terbabit tidak memohon kerahsiaan, keputusan itu akan tersedia di laman sesawang CAS,” kata jurucakap itu.

FAM dan tujuh pemain warisan Malaysia dikenakan tindakan oleh Fifa pada September tahun lalu selepas badan bola sepak dunia itu mendakwa FAM mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Jun.

Persatuan itu didenda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis.

Fifa pada 3 Nov mengumumkan ia menolak rayuan FAM terhadap tindakan itu, mendorong persatuan tersebut membawa kes ke CAS.

CAS kemudiannya membenarkan permohonan penangguhan hukuman yang dikenakan terhadap pemain terbabit, membolehkan mereka meneruskan kerjaya dan menyertai aktiviti bola sepak sehingga keputusan muktamad dibuat.

Sebuah jawatankuasa bebas Malaysia yang menyiasat kes itu sebelum ini memaklumkan ia tidak dapat menentukan secara konklusif pihak yang memalsukan dokumen berkenaan. Polis turut membuka siasatan sendiri berhubung dakwaan pemalsuan dokumen tersebut.

Kontroversi itu membawa kepada peletakan jawatan semua jawatankuasa eksekutif FAM.

Author: admin