
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan peningkatan jumlah tangkapan individu atau aktivis berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) berpunca daripada tekanan politik mana-mana pihak.
Timbalan menterinya Shamsul Anuar Nasarah berkata semua penahanan dibuat susulan laporan orang awam dan disiasat mengikut undang-undang sedia ada.
“Setiap individu yang disyaki melakukan kesalahan akan disiasat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik mereka.
“Polis komited menangani perkara boleh mencetuskan kegentaran awam, menggugat keselamatan negara serta keharmonian masyarakat,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Shamsul turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu 3R dan memberi kepercayaan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus.
Beliau menjawab soalan tambahan Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berhubung tangkapan kebelakangan ini lebih tinggi berbanding pertuduhan yang dibuat termasuk membabitkan penyelaras himpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (Garah).
Menurut Shamsul, setiap siasatan dan tangkapan dilakukan berlandaskan undang-undang, tanpa niat menyekat kebebasan bersuara selagi ia tidak melangkaui batas dan mengancam keharmonian negara.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan Akta Hasutan 1948, sebanyak 90 tangkapan direkodkan bagi tempoh 2024 dan 2025, namun hanya 14 kes diteruskan dengan pendakwaan,” katanya.
Beliau menjelaskan peningkatan tangkapan mencerminkan ketegasan polis dalam membendung penyebaran kandungan sensitif melibatkan elemen 3R supaya tidak berkembang secara melampau.
“Walaupun peningkatan kertas siasatan adalah kecil, jumlah tangkapan meningkat dengan ketara kerana penglibatan individu atau kumpulan yang bertindak secara kolektif menyebarkan kandungan berunsur hasutan.
“Penurunan jumlah pertuduhan pula menunjukkan kerajaan berhati-hati dalam memutuskan pendakwaan,” katanya.
Menurutnya, setiap kes dinilai secara menyeluruh oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) dan hanya kes dengan bukti kukuh dibawa ke mahkamah, manakala kes lain diselesaikan melalui amaran atau pemantauan berterusan.
