
KANGAR: Akibat membuang puntung rokok di tempat awam, tiga lelaki masing-masing didenda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama lapan jam oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan itu selepas penjawat awam Idzham Husin, 43, dan Ahmad Nasri Mohammad Yusof, 47, serta pemandu pengorek-kaut Putra Che Ani, 59, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 30 hari, jika gagal membayar denda, selain tempoh khidmat masyarakat perlu diselesaikan dalam enam bulan.
Ketiga-tiganya didakwa membuang puntung rokok di tempat awam, bukannya dalam bekas diperuntukkan di Dataran Sena Indah, Jeti Kuala Perlis dan depan sebuah bank di sini pada 1, 2 serta 15 Jan lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A (2) dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat mengikut Subseksyen 77B (1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Nur Idayu Syazwani Mohd Arif, Siti Adora Rahtimin, Mohd Iqram Ismail dan Mohd Fazli Janna, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Ini pendakwaan pertama di Perlis di bawah Akta 672.
