13 rakyat Malaysia di Iran enggan pulang, kata Mohamad

TOK MAT MOHAMAD HASAN
Menteri Luar Mohamad Hasan turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak merancang perjalanan ke Iran buat masa ini jika tiada urusan penting.

PETALING JAYA: Seramai 13 rakyat Malaysia memilih untuk kekal berada di Iran walaupun telah dinasihatkan keluar dari negara berkenaan susulan konflik ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata mereka bagaimanapun telah diminta menandatangani surat aku janji serta indemniti sekiranya berlaku apa-apa sepanjang berada di sana dan kerajaan tidak boleh dipersalahkan.

“Rakyat Malaysia di Iran tidak ramai ada 13 orang, dua atau tiga melibatkan pelajar. Mereka ini kita telah beri nasihat untuk dibawa balik tetapi ada yang tidak mahu balik, jadi 13 masih di Iran.

“Kita telah meminta mereka tandatangani surat indemniti bahawa mereka jika jadi apa-apa, kerajaan Malaysia tak boleh dipersalahkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta menteri luar menyatakan pelan evakuasi bagi warga Malaysia di Iran dan negara yang dijangka terlibat susulan konflik antara Iran dan AS serta jumlah rakyat Malaysia di negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad turut memaklumkan semua kakitangan dan ahli keluarga diplomat Malaysia di Tehran telah diminta pulang lebih awal pada 18 Jan dan awal 2 Feb lalu melalui pelan perundingan.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak merancang perjalanan ke Iran buat masa ini jika tiada urusan penting.

“Saya minta rakyat jangan pergi ke sana jika tidak ada urusan penting. Apa juga kemungkinan akan berlaku,” katanya.

Beliau juga menegaskan Malaysia kekal konsisten mahukan keamanan dan mana-mana negara yang bertindak melakukan pencerobohan tidak boleh diterima serta tetap dikutuk.

“Kita amal dasar kecuali, kita amal dasar keamanan, siapa amal keganasan atas apa juga alasan kita akan kutuk dan kecam kerana ia membawa kemudaratan dan kemusnahan kepada negara di serang, itu pendirian kita,” katanya sambil berharap rundingan antara Iran dan AS berjalan dengan baik sekali gus mengelak risiko berlaku peperangan.

Author: admin